Dendam terhadap SPRM jadi punca DAP Pulau Pinang tolak Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

18/7/2017– Umum mengetahui Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang menghadapi dua pertuduhan kes skandal rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo “terlajak murah”.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu juga dikaitkan dengan isu kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang mencecah RM305 juta, penjualan tanah berbilion ringgit, penjualan tanah bumiputera sehingga tertangkapnya Pengerusi Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Dato’ Syed Murtaza, taikun Hunza Group, Dato’ Seri Khor Teng Tong proksi Guan Eng dan kes skandal rasuah Zakat Pulau Pinang.

Itu sebab Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga hari ini enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Kerajaan DAP Pulau Pinang menyifatkan kononnya prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR.

Inilah sifat retorik yang sering kali dipamerkan oleh puak Pakatan Harapan. Kalau orang lain yang buat, sudah pasti mereka akan mengecam tindakan itu sehabis- habisnya. Tapi kalau meraka sendiri yang buat, macam-macam alasan yang diberikan untuk menjustifikasikan tindakan dan keputusan yang telah mereka lakukan.

Kononnya, mereka tidak yakin terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani rasuah di negara ini. Itulah yang cuba ditegaskan oleh Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

P Ramasamy berkata Pulau Pinang tidak yakin dengan ikrar yang disifatkan sebagai ikrar kosong itu kerana mengangggap selama ini SPRM hanya melaksanakan ‘usaha kecil’.

Menurut beliau, selain Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor juga belum menandatangani IBR kerana negeri-negeri diperintah pembangkang tiada keyakinan terhadap ikrar itu.

“Persoalannya, mengapa SPRM terlalu pentingkan isu tidak mahu tandatangan, berbanding berusaha meyakinkan negeri-negeri ini termasuk Pulau Pinang bahawa SPRM memang ikhlas dalam memerangi rasuah dengan mengambil tindakan ke atas mereka yang makan rasuah?

“Namun malangnya, SPRM tidak terlepas daripada campur tangan politik dan ia akan berlarutan. Dengan alasan itu, apa rasionalnya tiga negeri ini untuk menandatangani IBR itu?,” kata P Ramasamy.

Katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) diamalkan selama ini lebih berkesan dalam menangani rasuah berbanding kebergantungan kepada SPRM.

Terdahulu, SPRM kesal dengan keengganan Kerajaan DAP Pulau Pinang menandatangani IBR yang merupakan komitmen sesebuah institusi untuk memerangi musuh nombor satu negara itu.

Tiga negeri di bawah pimpinan pembangkang iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan masih belum memberikan komitmen untuk menandatangani ikrar itu. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *