Didik Murid Secara Holistik Tanpa Perlu Merotan

PETALING JAYA – Pejuang hak asasi kanak-kanak mahu para guru mengamalkan pendekatan holistik tanpa kekerasan dalam memperbaik kelakukan murid yang tidak buat kerja sekolah, daripada merotan murid itu.

Mereka berkata kanak-kanak bermasalah perlu dididik dengan betul untuk memperbaik tingkah laku, berserta langkah menyampaikan kebimbangan kepada ibu bapa secara proaktif demi kebaikan murid.

Sin Chew Daily Jumaat lepas melaporkan seorang murid darjah 3 di Johor Bahru dirotan gurunya dengan teruk kerana tidak membawa buku teks.

Akhbar itu melaporkan penderitaan murid itu menarik perhatian masyarakat selepas ahli keluarganya memuatnaik pengalaman itu di Facebook, berserta gambar kecederaan pada tangan perempuan berusia 9 tahun itu.

Jurucakap sekolah dilaporkan mengakui guru itu tidak menangani perkara itu dengan betul.

Jurucakap dilaporkan berkata murid itu tidak menyerahkan kerja rumah sejak tahun bermula, dan menambah para guru tidak dapat menghubungi ibu bapa kanak-kanak itu.

Pengarah Eksekutif Suara Kanak-Kanak Sharmila Sekaran berkata guru sepatutnya meminta penjelasan mengapa buku teks tidak dibawa ke sekolah daripada menghukum kanak-kanak itu sebegitu rupa.

“Apabila kanak-kanak melakukan ‘kesalahan’ dalam bilik darjah, seorang guru perlu pastikan mereka sedar kesalahan itu jangan diulangi.”

“Desak mereka jelaskan mengapa tidak bawa buku ke sekolah dan apa sebabnya,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah apabila kanak-kanak ditanya seperti itu, mereka akan lebih sedar mengapa mereka tidak sepatutnya mengabaikan buku-buku penting.

Sharmila berkata meskipun Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling mengenai jenis kesalahan yang boleh dirotan, tiada penguatkuasaan terhadap para guru yang tidak mematuhi garis panduan itu.

“Merotan tidak lagi dalam disiplin abad ke-21, dan tiada bukti menunjukkan ia mengubah pelaku,” katanya.

Menurut pekeliling 2003, para guru perlu memberikan amaran kepada murid-murid yang melakukan kesalahan kecil, seperti tidak membawa buku teks, tidak menyiapkan kerja sekolah atau tidak beri perhatian dalam kelas.

Kanak-kanak hanya akan dirotan di tapak tangan dan punggung jika mereka melakukan kesalahan sederhana atau serius, menurut pekeliling itu.

Prof Mohd Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI bersetuju perlu ada dasar “tidak merotan”.

“Pekeliling itu ketinggalan zaman. Di negara lain, sekolah cuba menjadikan kanak-kanak menikmati pembelajaran bukannnya disiplin yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PS The Children Madelen Yong berkata perlu ada protokol perlindungan kanak-kanak dalam sistem persekolahan.

Beliau berkata orang dewasa dan masyarakat perlu menjaga kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak.

Beliau menambah sekiranya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu tidak boleh dihubungi, maka jabatan kebajikan perlu dimaklumkan supaya mereka boleh melawat rumah kanak-kanak itu.

Yong bertanya mengapa murid di Johor itu dihukum tanpa pihak sekolah tahu apa yang menyebabkan kanak-kanak itu tidak membawa buku.

“Kita tak tahu apa yang berlaku di rumahnya dan mengapa ibu bapa kanak-kanak itu tidak dapat dihubungi,” katanya.
Yong menggesa kerajaan melaksanakan dasar Suruhanjaya Asean Mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC) untuk menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak.

“Malaysia antara negara anggota ACWC. Mengapa kita tidak amalkan perlaksanaan secara positif?” katanya.

Minggu lalu, 1 lagi isu merotan berbangkit apabila media melaporkan seorang murid di sebuah sekolah rendah Cina dirotan 12 kali kerana didakwa lewat membayar yuran persatuan ibu bapa dan guru.

Kumpulan ibu bapa yang dihubungi FMT terkejut kejadian seperti itu boleh berlaku. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *