Doktor Kontrak tak mampu cakap bahasa Melayu adalah tak munasabah.

Tan Sri Rais Yatim menasihatkan kerajaan supaya tidak bersetuju dengan kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan Pegawai Perubatan bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred 1.

Beliau yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata, alasan bahawa pengecualian diberi kerana para doktor terbabit adalah kakitangan kontrak adalah tidak munasabah.

“Kalau tak boleh cakap Melayu macam mana nak rawat orang Melayu dan anggota masyarakat yang lain?

“Doktor Inggeris dahulu pun belajar cakap Melayu. Kenapa doktor kontrak tak boleh belajar cakap Melayu?,” katanya menerusi Facebook beliau.

Beliau menyifatkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu sebagai satu penghinaan kepada Dasar Kebangsaan.

Rais turut mengingatkan pegawai-pegawai Melayu agar jangan menggadaikan maruah negara bangsa kerana sudah terlalu banyak pemesongan Dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Katanya, jika para doktor boleh belajar ribuan terma perubatan, apakah masalahnya untuk mengingati ayat dan terma dalam bahasa Melayu.

“Mereka itu boleh belajar bahasa Melayu dalam satu bulan. Pihak KKM juga boleh adakan sukatan pelajaran bahasa yg mudah dan praktikal,” tegasnya yang mahu tindakan kelonggaran itu ditarik balik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *