Exco Agama Pulau Pinang restu pemberian dana kepada penganjur filem GAY?

17/7/2017– Baru-baru ini, kecoh apabila syarikat Performing Arts Centre of Penang (PenangPAC) bercadang mengadakan tayangan percuma sebuah filem gay dari Vietnam. Bertempat di Penangpac, acara dijadualkan bermula pada jam 8 malam pada 11 Julai 2017 lalu.

Namun bagaimanapun, filem yang sepatutnya ditayangkan pada malam itu telah dibatalkan. Walau apa pun, tindakan penganjur Penangpac menayangkan filem sedemikian di Pulau Pinang memperlihatkan penguatkuasa seolah gagal melaksanakan peranan memelihara kepentingan rakyat.

Lebih mengaibkan dan memalukan bagi umat Islam Pulau Pinang lagi kerana mempunyai EXCO yang menjaga agama Islam, bersifat lembab dan pekak bedak sehingga tidak malu mengaku baru tahu mengenai tayangan filem gay di Tanjong Tokong, yang juga dinaungi oleh ADUN DAP.

“Saya hanya tahu mengenai tayangan filem berkenaan pada hari ini, dan difahamkan ia sudah dibatalkan,” kata Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim.

Malah, Malik Kassim cuba mempertahankan Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa PenangPAC adalah sebuah badan persendirian dan tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri.

Untuk rekod, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri merasmikan Penangpac dan Penangpac pernah mendapat geran RM100,000 dari Kerajaan Negeri.

Namun jeliknya, Malik Kassim hari ini berkata persoalan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menyumbangkan dana sebanyak RM100,000 kepada Penangpac atau tidak kononnya sepatutnya tidak timbul.

Menurutnya, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi sumbangan kepada pelbagai organisasi, agensi termasuk kepada mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membuat permohonan berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menyumbangkan dana sebanyak RM100,000 kepada Penangpac pada tahun lepas.

Malik Kassim cuba menegaskan bahawa sepatutnya tidak timbul persoalan lagi berhubung perkara ini kerana beliau sudah pun memanggil pihak Penangpac dan menggesa mereka membatalkan tayangan filem berkenaan.

Dan juga cuba mempertahankannya kenyataannya bahawa beliau tidak tahu menahu tentang perkara tersebut sehinggalah pada tarikh tayangan itu sendiri iaitu pada 11 Julai 2017.

“Lagipun, saya hanya mengetahui rancangan mengenai perkara itu pada 11 Julai 2017 iaitu pada hari sama sebelum bermulanya tayangan filem berkenaan dilangsungkan.

“Kalau ada permintaan dan permohonan kita akan bagilah kepada mereka yang memerlukan jadi saya tidak mahu panjangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, penyumbangan dana kepada NGO dan institusi ini akan diberi terutamanya NGO-NGO, iaitu pihak yang paling banyak mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau juga cuba menafikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penyokong gerakan LGBT berkata, “Persoalan seumpama ini merupakan satu perkataan yang tidak adil dan berniat jahat.”

“Sudah saya jelaskan setiap permohonan dana dari pihak-pihak yang terlibat akan dikaji untuk tujuan apa sebelum diluluskan sepenuhnya peruntukan kepada mereka, soal ke mana mereka akan gunakan peruntukan tersebut itu diluar pengetahuan kami,” katanya.

Menurutnya, umum sudah sedia maklum bahawa beliau sendiri sudah menghantar surat rasmi kepada mereka termasuk menjemput pihak Penangpac bagi membincangkan dengan mereka berhubung tayangan filem berkenaan dan mereka (Penangpac) juga sudah bersetuju untuk tidak meneruskan tayangan filem berkenaan termasuk bersetuju untuk dibatalkan.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini baru-baru ini melaporkan Pengurus Pentas Penangpac, Arnold Hooi sebagai berkata bahawa tayangan filem ‘Lost In Paradise’ dibatalkan penganjur kerana masalah berkaitan dengan CD filem tersebut. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *