Filem Seram ‘Wish Upon’ Kurang Dapat Sambutan

Sejauh mana pun zaman berubah, filem-filem mistik dan seram akan sentiasa mempunyai ruang dalam dunia seni layar. Mungkin tidak semua orang sukakan genre filem seperti ini, namun buat pencinta babak kejutan seram dan mendebarkan, filem yang mampu menakutkan penonton sentiasa ditunggu-tunggu.

Oleh kerana itu, penerbit filem-filem Hollywood tidak jemu-jemu menyajikan filem sedemekian. Terbaru, pengarah filem seram popular Annabelle, kembali dengan buah tangan terbarunya bertajuk ‘Wish Upon’.

Biarpun filem ini kurang mendapat promosi hebat berbanding filem-filem seram lain untuk tahun 2017, ia mempunyai kekuatannya sendiri.

Filem ini mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Clare (lakonan Joey King yang lebih dikenali melalui filem The Conjuring) yang membesar tanpa ibu gara-gara ibunya membunuh diri sewaktu Clare masih kecil. Dia hidup bersama ayahnya dalam keadaan yang agak menyedihkan dan sentiasa menjadi mangsa buli beberapa orang pelajar nakal di sekolah.

Suatu hari, ayah Clare (lakonan Ryan Philippe) yang bekerja mencari bahan-bahan buangan yang boleh dipakai semula menemui sebuah kotak unik yang mempunyai tulisan bahasa Cina purba. Dia memberikan kotak tersebut kepada Clare dan Clare kemudian mendapat tahu bahawa kotak itu merupakan sebuah kotak hajat ajaib yang mampu mengabulkan tujuh permintaan si pemilik kotak.

Setelah mengetahui keajaiban kotak tersebut, Clare mula membuat beberapa permintaan namun dia tidak menyedari bahawa untuk setiap hajat yang ditunaikan, seseorang yang rapat dengannya akan meninggal dunia. Selepas menyedari semua itu, Clare mula menjadi obses dengan kotak hajat itu namun atas nasihat temannya dia cuba ‘mengalahkan’ kuasa jahat kotak tersebut.

Jika anda penggemar filem seram dan suka unsur-unsur mistik serta paranormal, anda mungkin akan menggemari filem ini.

‘Wish Upon’ sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. – sfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *