Gadis Siam pulang ke rumah selepas memeluk Islam di Kota Bharu

TUMPAT: Remaja perempuan, Benchana Eh Sau, 18, dari Kampung Kubang Bemban di sini yang hilang tiga minggu lalu ditemui tetapi sudah memeluk Islam.

Benchana remaja berketurunan Siam itu tinggal di rumah keluarga angkatnya di Pantai Suri sejak dia keluar dari rumahnya, 16 Jun lalu.

Ayahnya, Eh Sau Eh Aui, 42, berkata, dia berjaya menjejaki anaknya hasil maklumat yang disalurkan melalui laman Facebook selepas kehilangan anaknya menjadi tular.

“Kelmarin saya pergi ke rumah keluarga itu, ambil balik anak saya.

“Saya terkejut kerana anak saya memaklumkan dia sudah memeluk agama Islam di pejabat agama Kota Bharu minggu lepas,” katanya.

Benchana atau nama Islamnya Siti Nur Aisyah Abdullah kini berada bersama keluarga kandungnya di Kampung Kubang Bemban.

Eh Sau berkata, dia tidak dapat menerima tindakan anaknya itu yang memeluk Islam kerana masih di bawah umur dan terpengaruh dengan cinta anak keluarga angkatnya.

“10 Julai ini baru genap 18 tahun anak saya, saya harap masalah ini ada penyelesaiannya,” katanya.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri risau keselamatan anak perempuannya yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita.

Benchana Eh Sau, 18, keluar dari rumah di Kampung Kubang Bemban pada 16 Jun lalu.

Eh Sau merayu Benchana pulang kerana isterinya, Acharaphome, 42, jatuh sakit akibat terlalu merindui anaknya itu. /Sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *