Harga rumah mampu milik di Pulau Pinang diluar kemampuan rakyat

13/7/2017– Projek mampu milik dan perumahan rakyat oleh mana-mana kerajaan, keuntungan bukannya matlamat kerana ia bukan syarikat pemaju swasta tetapi untuk memastikan keperluan masyarakat dapat dipenuhi. Namun, sebaliknya yang berlaku di negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan parti rasis dan cauvinis DAP.

Ini kerana projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah oleh kerajaan Pulau Pinang dibawah pimpinan parti rasis dan cauvinis DAP hanya mengelirukan rakyat kerana harga yang ditawarkan adalah di luar kemampuan rakyat. Ini menunjukkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang tiada keikhlasan dan usaha sebenar untuk membantu rakyat.

Itu sebab rakyat patut buka mata dan sedar bahawa pakatan pembangkang hanya membawa penderitaan dan bebanan kepada rakyat sahaja. Apa yang penting bagi mereka, hanyalah keuntungan berbanding mengutamakan kebajikan rakyat.

Jadi, memang wajarlah apabila Gerakan Pulau Pinang hari ini mempersoal tindakan kerajaan negeri yang masih meluluskan dan membina pembangunan rumah mampu milik (RMM) pada harga lebih RM100,000, sedangkan jumlah unit yang terjual bagi kategori itu adalah rendah.

Ketua Biro Publisitinya, Ooi Zhi Yi mempersoalkan objektif kerajaan negeri membuat keputusan melulus dan membina pembangunan yang seolah-olah tidak mempunyai permintaan yang tinggi.

“Apakah motif kerajaan DAP dalam membuat perancangan tersebut? Adakah menyediakan perumahan untuk rakyat Pulau Pinang atau menguntungkan ahli-ahli korporat merupakan objektif utama kerajaan negeri?

“Objektif utama kita haruslah untuk membangunkan perumahan sebagai tempat berteduh, membangunkan perumahan untuk pembeli rumah kali pertama. Pembangunan perumahan untuk pelaburan adalah sekunder,” kata Zhi Yi.

Menurut Zhi Yi, berdasarkan data yang diperoleh daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 12,933 unit rumah kediaman yang tidak terjual di negeri ini hingga suku keempat 2016.

Katanya, daripada jumlah itu, 284 unit rumah yang tidak terjual berharga RM50,000 ke bawah, 378 unit (RM50,001 hingga RM100,000), 1,918 unit (RM100,001 hingga RM300,000) dan 10,353 unit (lebih daripada RM300,000).

“Bilangan perumahan tidak terjual yang rendah berada dalam julat harga RM100,000 ke bawah telah membuktikan bahawa permintaan dalam kategori tersebut adalah tinggi.

“Kenapakah kerajaan DAP Pulau Pinang tidak membina lebih banyak pembangunan perumahan tersebut,” kata Zhi Yi.

Beliau berkata pihaknya memahami bahawa data permintaan dan bekalan bagi perumahan akan berubah dari semasa ke semasa, namun kerajaan negeri seharusnya merujuk kepada data sebagai asas dalam membuat perancangan masa depan negeri. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *