Isteri Ditahan Polis Ketika Datang Jamin Suami

IPOH – Seorang isteri yang datang ke Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menemui suaminya, ditahan selepas didapati positif dadah.

Wanita berusia 39 tahun itu hadir bersama anak lelakinya berusia enam tahun dengan niat mahu menjamin suaminya yang ditahan dalam satu operasi khas AADK di kawasan daerah Kinta.

Bagaimanapun Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Mokhtarudin Mohamad berkata, melihat keadaan wanita berkenaan yang berkelakuan agak meragukan, anggota kemudiannya meminta wanita itu turut menjalani ujian air kencing.

Menurutnya, daripada kenyataan yang diambil, pasangan suami isteri terbabit terlibat dalam penagihan dadah jenis syabu sejak 10 tahun lalu.

“Hasil makluman awam, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di sebuah taman perumahan di Ipoh. Ketika ditahan, wanita terbabit tidak berada di rumah itu dan apabila mengetahui kes ini, wanita berkenaan hadir ke pejabat untuk menjamin.

“Anggota AADK yang mengesyaki sesuatu kelihatan tidak kena dengan wanita itu melakukan ujian saringan air kencing ke atasnya dan mendapati wanita berkenaan positif syabu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Operasi dijalankan bermula Rabu jam 10 malam itu berakhir pada jam 8 pagi, kelmarin menyasarkan penagih dadah di dalam rumah persendirian, hasil aduan awam.

Mokhtarudin berkata, wanita berkenaan akan dihantar ke pusat pemulihan di Pusat Serenti Wanita di Bachok, Kelantan, manakala anaknya diserahkan kepada waris untuk dijaga.

Sementara suaminya ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 31 Akta Pencegahan Dadah dan Pemulihan 1983 untuk siasatan lanjut.

“Makluman awal yang kita peroleh, lelaki ini juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan secara kecil-kecilan,” katanya.

Dalam operasi itu, seramai 10 individu termasuk tiga wanita berusia antara 21 hingga 39 tahun ditahan selepas didapati positif dadah.

Beliau mengharapkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan gejala penagihan kepada AADK meskipun ia melibatkan ahli keluarga sendiri.

“Ini penting agar kita dapat mengurangkan kadar penagihan dadah sama ada melibatkan kes baharu atau berulang,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *