Janji Harapan Hanya Mainan Politik

CAMERON HIGHLANDS – Pelbagai janji ditaburkan Pakatan Harapan sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak hanya mainan politik dalam usaha meraih simpati dan sokongan rakyat, kata Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.

Beliau berkata, ini terbukti apabila janji pakatan pembangkang yang ditabur pada pilihan raya umum yang lalu masih tidak ditunaikan sehingga hari ini walaupun mendapat kuasa memerintah di beberapa negeri.

“Hanya kerajaan BN sahaja yang mampu memberi kestabilan ekonomi dan politik serta sudah terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat serta kemakmuran negara sehingga ke hari ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah RM500,000 kepada 23 pertubuhan bukan kerajaan, rumah ibadat, sekolah serta rumah anak yatim dari Cameron Highlands, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Kayveas yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan mengambil contoh, sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membelanjakan sejumlah wang untuk meningkatkan industri pengangkutan awam di negara ini.

Beliau berkata, projek Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dilaksanakan kerajaan adalah demi meningkatkan kualiti hidup seterusnya memberi kemudahan pengangkutan selesa kepada rakyat.

Sehubungan itu Kayveas mengingatkan rakyat agar jangan mudah terpengaruh dengan pakatan pembangkang yang hanya pandai membuat janji-janji manis tetapi tidak mampu melaksanakannya.

Berhubung sumbangan itu, beliau berkata: “Terima kasih kepada perdana menteri dan ICU yang prihatin terhadap rakyat kerana dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak berkenaan untuk melaksanakan program atau aktiviti masing-masing”. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *