Janna Nick Pandai Elakkan Diri Dari Kontroversi

Sering bergandingan dengan pelakon berstatus suami, Janna Nick atau nama penuhnya, Nurul Jannah Muner mengutamakan profesionalisme di lokasi penggambaran bagi mengelakkan diri daripada dijamah kontroversi.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu juga sentiasa menghormati gandingannya, malah selesa keserasian yang tercipta antara mereka hanya berlandaskan kerja untuk mengelakkan dirinya terheret dalam kontroversi tidak diundang.

Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu mengakui, kebelakangan ini, dia kerap digandingkan dengan pelakon yang sudah beristeri seperti Nazim Othman dalam telefilem Menantu Material arahan Thumb Suhaimi.

Terdahulu, Janna dipertemukan dengan pelakon popular Indonesia, Irwansyah dalam drama, Dia untuk slot Akasia di TV3.

“Saya mudah rapat dengan pelakon gandingan, tetapi kemesraan kami hanya terbatas di lokasi penggambaran. Bagi saya, tidak perlu hingga bercinta atau mesra berlebihan hanya kerana ingin mencari keserasian.

“Kebiasaannya, saya akan mulakan dengan berbual ringan dan dari situ, saya belajar menyesuaikan diri. Ada di antara pelakon lelaki ini sudah saya anggap seperti abang. Dulu, saya kerap bergandingan dengan Saharul Ridzwan dan selepas dia berkahwin, kami tetap serasi di lokasi.

“Begitu juga apabila dipertemukan dengan Ashraf Muslim dalam drama Biar Aku Jadi Penunggu dan Shukri Yahaya dalam Suami Tanpa Cinta. Kami tiada masalah kerana masing-masing profesional dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Pelakon yang turut dikenali sebagai penyanyi menerusi lagu Mungkin Saja itu berkata, sikap selamba dan gemar berterus terang juga memudahkan urusannya setiap kali di lokasi penggambaran.

“Setiap artis mempunyai prinsip tersendiri. Saya akan terlebih dulu bertanya dan berbincang jika perlu melakonkan babak romantis atau bersentuhan. Tidak kira sama ada pelakon itu masih bujang atau sudah berkeluarga, saya akan lakukan perkara yang sama.

“Saya perlu menghormati pendirian mereka. Banyak cara boleh dilakukan untuk mempamerkan kemesraan itu supaya gandingan kami tidak nampak janggal di kaca televisyen. Bagi saya, status seseorang pelakon bukan halangan untuk kami mencari keserasian.

“Saya bertuah kerana sering digandingkan dengan pelakon lelaki yang memahami dan sentiasa memberikan kerjasama. Persefahaman itu penting kerana dalam bekerja, keselesaan memainkan peranan untuk memberikan lakonan berkesan,” katanya. – bho

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *