Kanak-kanak berusia setahun terperangkap sejam dalam kereta.

Pasangan suami isteri berusia 30-an berdepan dengan detik cemas hampir sejam apabila anak lelaki mereka berusia dua tahun terperangkap di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Audi  Q7 dalam satu kejadian di hadapan rumah mereka di Lorong Sungai 3, Kawasan 7, Jalan Tepi Sungai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa dipercayai telah memasuki kereta tersebut tanpa pengetahuan ibu bapanya dan telah tertekan butang kunci pintu pada alat kawalan jauh yang berada di dalam kereta tersebut.

Difahamkan ketika kejadian, kedua ibu bapa mangsa tengah bersiap untuk keluar ke majlis hari raya sebelum menyedari anak mereka telah terperangkap di dalam kereta terbabit.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Mohd. Fauzi Ramli berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.25, dia bersama tiga anggota lain telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun telah terperangkap di dalam kereta.

“Anggota bomba cuba membuka pintu kereta terbabit, namun usaha hampir setengah jam itu gagal. Ketika itu kanak-kanak tersebut mulai panik dan menangis,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku, anggota kita kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi memecahkan cermin sisi belakang kereta terbabit.

“Setelah cermin berjaya dipecahkan dan pintu berjaya dibuka anggota kita kemudiannya membawa keluar kanak-kanak terbabit sebelum menyerahkan kepada kedua ibu bapanya.

“Operasi tersebut tamat kira-kira pukul 12.52 tengah hari dan tiada sebarang kecederaan yang dialami mangsa,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *