Kebebasan Wanita dalam Memilih Pasangan Hidup

18/07/2017 – Banyak wanita yang bertanya-tanya ketika akan menikah, apakah boleh seorang wanita memilih pasangan hidupnya sendiri?

Jika dahulu secara realitinya dengan mengkaji keempat-empat mazhab secara terperinci, kita akan dapati bahawa terdapat sebahagian pandangan dan penetapan hukum yang di bawa oleh mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki turut kita adaptasi dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh, dalam proses nikah kahwin untuk seorang anak perempuan, mazhab asy-Syafi’i telah meletakkan bapa merupakan wali mujbir yang memiliki kuasa ‘veto’ untuk melangsungkan akad nikah. Seorang bapa berhak untuk mengahwinkan anak gadisnya yang telah mencapai umur dewasa walaupun mencapai umur 60 tahun tanpa persetujuan seseorang anak perempuannya terlebih dahulu. Sepotong Hadith Nabi saw yang bermaksud:

“Perempuan janda lebih berhak tentang urusan dirinya dari walinya dan gadis pula bapanya yang mengahwinkannya”

Suatu ketika dahulu kuasa ‘veto’ seorang bapa untuk menikahkan anak perempuan mereka begitu ketara dalam kehidupan masyarakat. Sehingga ada yang merasakan bahawa perkahwinan mereka merupakan satu paksaan oleh orang tuanya. Mereka saling tidak mengenali hinggalah mereka telah diijabkabulkan oleh orang tua mereka. Ya, mungkin benar perkahwinan sedemikian mempunyai keberkatan dan keredhaan daripada orang tuanya yang telah merestuinya.

Ramai di antara mereka yang mana rumah tangga yang terbina dengan secara yang sedemikian berjaya mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangganya hinggalah ke akhir hayat mudah-mudahan berkekalan sehinggalah ke syurga. Bertentangan pula dengan pemasalahan dan kepincangan yang berlaku dalam rumah tangga yang berlaku pada hari ini.

Tetapi, proses perlaksanaan dan “kekuasaan” kepada seorang bapa yang menjadi wali mujbir adalah berbalik kepada keadaan semasa dan keperluan setempat. Mungkin suatu masa dahulu tindakan si bapa untuk melaksanakan kuasa vetonya sebagai wali mujbir dianggap masih lagi relevan dalam kehidupan..

Namun, perubahan sering berlaku merentasi zaman. Keadaan dan keperluan sesuatu masyarakat akan berubah berdasarkan kepada keadaan semasa. Situasi pada hari ini yang jauh lebih terbuka dalam segenap perkara dalam kehidupan, membawa kita kepada perlunya pembaharuan dalam mengambil tindakan.

Seorang bapa tidak lagi boleh memaksa dan mendesak anak mereka untuk mematuhi dan mentaati segala arahan dan kehendaknya. Lebih-lebih lagi dalam bab jodoh dan pasangan hidup. Dengan keperluan dan keadaan semasa yang kian mencabar pada hari ini, seorang bapa seharusnya lebih bersifat bijak dan terbuka dalam menetapkan perkara yang berkaitan dengan jodoh untuk anak mereka sebagai contoh.

Oleh itu, wanita mempunyai kebebesan dalam memilih pasangan sendiri. Tetapi, ia juga bergantung kepada keselesaan dan kebahagiaan antara si anak dan si bapa. Sewajarnya dalam keadaan yang lebih bersifat terbuka pada hari ini adalah perlu kepada bapa membuka ruang kepada si anak untuk mereka memilih dan membawa calon pasangan hidupnya kemudian berbincang antara mereka adalah jalan yang terbaik.

Si bapa masih lagi mempunyai kuasa ‘veto’ dalam menjadi wali mujbir ke atas anaknya, namun penggunaan kuasa ‘veto’ itu bukanlah lagi dengan sikap mendesak dan paksaan perkahwinan mereka, tetapi adalah dengan kuasa ‘veto’ untuk meredhai dan merestui seterusnya membenarkan calon pasangan pilihan anaknya.

Kebebasan dalam menerima padangan, keterbukaan dalam mengambil keputusan, pembaharuan dalam sesuatu tindakan merupakan suatu keperluan dan tuntutan selagi mana ianya tidak bercanggah degan syariat yang jelas dalam nas al-Quran dan Hadith dalam mendepani pembaharuan yang seiring dengan zaman. Selagi calon yang dipilih oleh anak itu baik, tidak salah bapa untuk terbuka menerima calon pilihan anak. MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *