Kerusi Parlimen Permatang Pauh bakal jadi milik PAS di PRU14?

17/7/2017– Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah menarik perhatian apabila Parlimen yang dikatakan kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Permatang Puah menyaksikan Datuk Seri Datin Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyerahkan kerusi ini untuk ditanding Nurul Izzah.

Selain itu, Wan Azizah yang merangkap Presiden parti itu juga baru-baru ini menyatakan bahawa beliau begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) yang akan menjelang tidak lama lagi.

Selain daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir kononnya dijangka mampu dikekalkan oleh Pakatan Harapan sekali lagi.

“Kemenangan PKR dan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat menjadi harapan menggunung rakyat yang inginkan perubahan,” kata Wan Azizah.

Meskipun PKR begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen kawasan tersebut namun mungkin kedudukan mereka akan goyah apabila bekas rakan sekutu mereka, PAS hari ini melancarkan jentera pilihan rayanya di kawasan Parlimen paling utama milik PKR – Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Tetamu yang hadir di pelancaran di Kubang Semang menyaksikan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad melancarkan jentera. Bagaimanapun, tidak ada pengumuman rasmi PAS sama ada parti Islam itu akan bertanding merebut kerusi Parlimen itu atau tiga lagi kerusi DUN di situ.

Ketua bahagiannya, Omar Hassan dalam ucapannya meminta kepimpinan PAS membenarkan mereka bertanding di kerusi itu.

Idris berkata parti itu hanya melancarkan jenteranya di kawasan Parlimen, bukan hanya di Permatang Pauh.

Katanya, PAS sedang bersedia sementara menanti jawatankuasa kepimpinan negeri menghantar laporan mereka bagi pemimpin pusat membuat keputusan akhir.

Beliau berkata masih belum diputuskan berapa banyak kerusi yang akan ditandingi di seluruh negara, bukan saja Pulau Pinang, kerana penyelidikan masih dijalankan.

“Kami mungkin bertanding 120 atau 140 kerusi di seluruh negara. Di mana kita akan bertanding bergantung pada keputusan kepimpinan tertinggi.

“Kami perlukan laporan dari jawatankuasa negeri yang mengkaji kerusi berkenaan,” kata Idris.

PKR memegang dua kerusi di Permatang Pauh iaitu Penanti dan Seberang Jaya, kawasan lebih bandar. PAS memegang Permatang Pasir, satu-satunya kerusi milik parti Islam itu di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan itu.

Diketahui umum PAS memainkan peranan penting di akar umbi untuk memenangi pengundi, terutama di kawasan luar bandar yang majoritinya Melayu, bagi Pakatan Rakyat – gabungan lama terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Kerusi Permatang Pauh sebelum ini ditandingi PAS. Selepas ia bekerjasama dengan PKR, PAS memberikan kerusi itu kepada parti Anwar.

Tetapi kini, tanpa kerjasama dengan PKR, PAS dijangka akan bertanding di kerusi milik PKR dan parti dalam Pakatan Harapan yang lain. Ini akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru yang memecahkan undi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *