Ketua Polis Filipina pertahankan tindakan anggotanya

MANILA: Ketua Polis Filipina, Ronald dela Rosa mempertahankan tindakan polis bahagian antinarkotik menghantar mayat suspek dadah ke hospital.

Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan Reuters hasil siasatan yang dijalankan bahawa tindakan itu bertujuan memusnahkan bukti dan mengelakkan hukuman.

Dalam satu temubual televisyen yang disiarkan Khamis lalu, dela Rosa berkata, Polis Kebangsaan Filipina (PNP) yang melaksanakan operasi antidadah mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa, walaupun berdepan dengan keganasan.

Presiden Rodrigo Duterte melancarkan perang terhadap dadah sejak mengambil alih pentadbiran Filipina setahun lalu dan operasi itu sudah mengorbankan ratusan nyawa.

Dela Rosa berkata, polis tidak mempunyai kelayakan perubatan yang boleh mengisytiharkan sama ada seseorang mangsa itu sudah meninggal dunia atau sebaliknya.

Justeru, katanya, mangsa perlu dihantar ke hospital sebagai sebahagian daripada prosedur operasi.

“Apa yang anda mahu, mahu kami membiarkan mereka yang cedera mati. Kamu tidak mahu kami menyelamatkan nyawa mereka,” katanya kepada rangkaian berita ANC.

Beliau demikian ketika mengulas hasil analisa data jenayah yang dijalankan oleh Reuters membabitkan dua daripada lima daerah polis di Metro Manila, termasuk doktor, saksi, pegawai penguat kuasa undang-undang dan keluarga mangsa.

Analisa data itu menunjukkan corak aliran aktiviti polis menghantar mayat ke hospital, menghalang siasatan di lokasi kejadian dijalankan dengan lebih terperinci selepas suspek kes dadah dibunuh.

Dela Rosa berkata, Reuters yang menerbitkan beberapa siri laporan lengkap mengenai perang terhadap dadah, bertujuan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa, sekali gus mencari kesalahan pihak polis.

Dalam pada itu, jurucakap Reuters berkata, agensi berita itu kekal mempertahankan laporan berkenaan. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *