Kisah Pelatih Di Rumah Pengasih Amanjaya Di Changkat Golf

JIKA sebelum ini, najis dadah yang pernah menjadi ‘penyeri’ hidup manakala pusat sehenti dan penjara pula rumah kedua, kini hanya tinggal memori silam buat pelatih Rumah Pengasih Amanjaya di sini.

Kisah pelatih di Rumah Pengasih Amanjaya di Changkat Golf di sini, berkongsi cerita sama kerana dadah mereka bertemu di bawah bumbung sama.

Di rumah pengasih inilah seramai 58 pelatih dari seluruh Malaysia pelbagai latar belakang mempunyai niat sama iaitu mahu keluar kancah penagihan dadah dan kembali ke pangkuan keluarga serta masyarakat.

Bagi salah seorang pelatih yang dikenali sebagai Nazim, 41, bermula dengan ajakkan rakan sebaya punca dia yang berasal daripada Manjung terjerumus dalam kancah najis dadah.

Katanya, dia mula mengenali dadah jenis ganja seawal 16 tahun yang diperkenalkan oleh rakan sebayanya.

“Pada masa tu, saya jarang hisap bila ada duit baru saya hisap kalau tak ada duit tak adalah barang.

“Bila usia saya menginjak 20 tahun, saya mula beralih daripada ganja ke heroin ketika saya sambung belajar di sebuah institusi pengajian tinggi dan ketika tu perangai saya mula berubah gara-gara dadah,” katanya.

Nazim berkata, kerana dadah dia bertukar-tukar kerja sebelum dibuang kerja malah penjara dan pusat penagihan dadah menjadi ‘rumah keduanya’.

“Disebabkan penagihan dadah, keluarga saya membuat keputusan untuk masukkan saya di Rumah Pengasih Amanjaya pada tahun lalu.

“Pada bulan-bulan pertama memang sukar tapi alhamdulillah saya sudah tujuh bulan di sini saya semakin pulih serta positif berbanding sebelum ini,” katanya

Dia juga berharap dirinya terus bersih daripada najis dadah selain kembali ke pangkuan keluarganya di kampung.

“Saya berharap dapat peluang kedua untuk kembali keluarga dan masyarakat selain tidak kembali terjerumus ke dalam kancah najis dadah,” katanya.

Hilang kerja kerana dadah

Hanya kerana menagih dadah, seorang bekas guru daripada Pasir Mas, Kelantan, kehilangan pekerjaannya sebagai pendidik.

Dia mula terlibat dalam penagihan dadah sejak remaja apabila mencuba secara suka-suka apabila mengambil ubat batuk sebelum beralih kepada syabu ketika menjadi guru di Sabah.

“Bila saya ditukarkan Kelantan, masalah ketagihan dadah semakin meruncing sehinggakan keluarga saya hantar ke sini untuk berubah.

“Saya harap dapat berubah kepada orang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Tiga kali dibuang sekolah

Bagi penghuni Rumah Pengasih Amanjaya paling muda, yang dikenali sebagai Wan, menjadi penagih seawal 13 tahun kerana mengikut kawan-kawan.

Katanya, disebabkan menagih dadah, perangainya berubah dan menjadi pelajar nakal sering sehingga menyebabkan dia dibuang sekolah sebanyak tiga kali di Pulau Pinang.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, keluarganya mengambil keputusan untuk menghantarkan dia ke Rumah Pengasih Amanjaya tanpa pengetahuannya.

“Pada mulanya, ibu bagitahu saya akan di sekolah dekat rumah maksu, saya ikutkan saja tetapi bila saya sampai di sini, baru tahu niat ibu.

“Pada mulanya saya memberontak apatah lagi masa itu, saya baru 15 tahun tapi lama lama saya ikut proses yang ditetapkan pihak Pengasih sehingga kini sambil sambung pelajaran di tingkatan 5 di salah sebuah sekolah di sini,” katanya.

Katanya, dia akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini mengikuti program di bawah Pengasih selama dua tahun atas permintaan dirinya.

Pertama di Perak

Bagi Eksekutif Program, Sohaimi Ahmad berkata, Rumah Pengasih Amanjaya ini menggunakan konsep dan modul sama dengan rumah pengasih di Kuala Lumpur dan pertama di Perak.

Katanya, pihaknya membantu mana-mana penagih dadah yang sukarela atau dihantar keluarga mereka mahu keluar daripada cengkaman najis dadah.

“Di sini, kami akan membantu mereka dalam tempoh yang ditetapkan dalam beberapa fasa sebelum mereka ini akan dihantar untuk persediaan untuk tinggal di luar untuk berdiri di kaki sendiri.

“Buat masa ini, kita ada 58 pelatih yang mengikuti program kami dan sudah ada senarai menunggu untuk masuk ke dalam Rumah Pengasih Amanjaya dalam tempoh terdekat,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *