Lagu ‘I Am Me’ Disamakan Dengan Ayam, Datuk Vida Tak Kisah

Kalau sebelum ni penyanyi Jalil Hamid terkenal dengan lagu Ayam, kali ini jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida turut mendapat tempias yang sama kerana haiwan tersebut.

I Am Me ke ayam mi? Itu antara persoalan netizen yang sudah menonton klip video single pertama Vida yang dilancarkan pada Jumaat lalu.

Kata Vida, bunyi ‘ayam’ bagi sebutan I Am adalah sengaja dilakukan supaya ia berbunyi catchy dan sedap didengar.

“Kita nak sesuatu yang catchy dan menarik bila didengar. I am, I am sampai jadi ayam, ayam, ayam. Kalau ikutkan bukan ayam saja bunyi kucing pun ada ‘miow’.

 “Ada juga yang kata bahasa Inggeris saya berbunyi begitu kerana slang bahasa Kelantan. Tidak kisahlah nak cakap apa,” ujarnya kepada mStar Online.

Video lirik berjudul I Am Me kini sudah mendapat lebih 200,000 tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 14 Julai lalu.

Single I Am Me Vida dikatakan sudah mula diperkatakan di negara jiran… kelas gitu!

Lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu juga menerima lebih 1,000 komen sama ada positif dan negatif.

Bagaimanapun, rata-ratanya menganggap lagu tersebut menarik dan sedap didengar beberapa kali.

Mereka berpendapat lagu berkenaan memberi aura positif dan membantu menghilangkan tekanan.

Tidak kurang juga, komen negatif beranggapan ia sesuai dinyanyikan oleh golongan kanak-kanak.

Sementara itu, Vida berkata, dia berpuas hati dengan perkembangan lagu tersebut yang bukan sahaja sedang diperkatakan seluruh Malaysia, malah sudah sampai ke negara jiran.

“Alhamdulillah, saya suka dan berpuas hati dengan sambutan terhadap lagu itu setakat ini.

Bukan di Malaysia sahaja, saya lihat negara jiran seperti netizen Indonesia pun banyak komen,” ujarnya. – ms

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *