Lambakan Ikan Kembung di Utara tidak menjadi beban kepada nelayan.

Isu lambakan ikan kembung di negeri-negeri utara dianggap sudah selesai selepas persatuan nelayan membelinya sebagai stok pada musim tengkujuh akan datang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pembelian stok itu melibatkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) dan persatuan nelayan daerah.

Beliau berkata, ketika ini bekalan ikan kembung meningkat setiap hari dengan tangkapan mencecah 200 kilogram (kg) sehingga 1,300 kg.

Jelasnya, tangkapan yang banyak itu disebabkan oleh musim dan cuaca yang sangat baik.

“Saya mendapat maklumat daripada NEKMAT, bekalan ikan semakin hari semakin meningkat dengan tangkapannya mencecah 200 kg sehingga 1,300 kg ketika ini.

“NEKMAT dalam usaha untuk memastikan harga ikan kembung tidak terlalu menjunam, mereka akan membelinya dan menyimpan sebagai stok ikan sejuk beku segar pada musim tengkujuh.

“Jadi kita sudah ada tempoh enam bulan bersiap siaga sekiranya berlaku kekurangan harga ikan kembung di pasaran,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Majlis Sambutan Aidilfitri di Wisma LKIM di Puchong di sini hari ini.

Irmohizam berkata, bekalan ikan yang stabil dengan tangkapan 1,300 kg tidak sepatutnya menjadikan harga ikan kembung dijual di luar harga tidak munasabah.

“Kita hendak pastikan di peringkat nelayan, sosio ekonomi mereka terjaga dan juga pengguna terutama sekali di pasar tani iaitu harga ikan dalam keadaan terkawal dan mencukupi setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam membayangkan Malaysia berkemungkinan mengeksport ikan ke China selain ke Thailand.

“Harga jualan ikan pendaratan di utara adalah sekitar RM2 hingga RM3 sekilo dalam keadaan ikan kembung pelaling 30 ekor perkilo dan harga itu masih stabil.

“Ada kemungkinan nanti kita bukan hanya mengeksport ke Thailand tetapi juga mendapat maklum wakil daripada kedutaan China telah minta bekalan ikan daripada Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau  memberitahu perlu mendapatkan maklum balas daripada persatuan dan memastikan bekalan di peringkat tempatan mencukupi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *