Leher Ditebuk Kerana Terlalu Percaya Suplemen Untuk Ubati Sakit Lutut

Memang diakui terdapat pelbagai jenis ubat diluar sana, ada yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, dan ada yang dijual secara haram.

Ada yang tidak mendapat kelulusan KKM, merbahaya sehingga boleh menyebabkan nyawa melayang, namun masih ramai yang membelinya dari pasaran.

Ada pula antara kita tidak mempercayai doktor, katanya ubatan moden adalah hasil komlot pihak tertentu untuk menguasai dunia.

Jika benar sekali pun, elakkanlah mengambil sesuatu produk yang sembarangan terutamanya suplemen yang tidak mempunyai kelulusan daripada pihak KKM, jangan terlalu mendengar atau percaya bulat cakap jurujual yang tidak bertauliah.

Jom baca perkongsian Dr Rafidah Abdullah mengenai seorang mak cik yang terlalu percaya dengan suplemen, namun dari niat asal mahu merawat sakit lutut, akhirnya penyakit lain yang datang sehingga lehernya terpaksa ditebuk.

Jom kita baca,

Percaya sangat suplemen untuk sakit lutut, tak pasal-pasal leher di tebuk

Kisah seorang Makcik berumur 65 tahun. Ada penyakit Kencing Manis dan Darah Tinggi beberapa tahun tapi stabil

Beliau sakit lulut 3 bulan. Akan tetapi tidak pernah buat XRay atau berjumpa Doktor apatah lagi Pakar Ortopedik.

Beliau mengambil keputusan untuk mengambil suplemen sahaja. Lantas suami membelikan p*****. Iklan kata jus delima dan entah campur apa lagi; elok untuk 1001 penyakit. Katanya serasi, beliau boleh berjalan selepas itu. Akan tetapi, boleh berjalan itu tidak lama. Dalaman beliau rosak. Perlahan-lahan beliau merasa penat, akhir nya tak tahan, sesak nafas.

Masuk hospital, bacaan urea 38 (normal bawah ~ 7), dan creatinine > 700 umol/L (normal < 100). Rosak buah pinggang! Ditebuk lah leher beliau untuk diletakkan tiub (gambar hiasan) untuk tujuan Dialisis! Prosedur ini semua berisiko tinggi ya.

Makcik menyesal tak sudah. Baru-baru ini, berjumpa kembali beliau di klinik dengan anaknya. Nasib Makcik baik; sebahagian daripada fungsi buah pinggangnya pulih semula dan tidak lagi memerlukan dialisis. Alangkah leganya beliau bila saya memberitahu beliau yang tiub dileher boleh dibuang.

Bacaan creatinine turun ke 238 umol/L. Ianya bukan normal; tetapi jika diri beliau di jaga dengan baik, nescaya akan dapat melambatkan proses Dialisis seumur hidup.

Nasihat saya:

1. Jika ada sakit lutut, mohon berjumpa dengan Doktor. Buat ujian XRay dan mungkin perlu rujukan ke Pakar Ortopedik. Jangan ambil apa-apa ubat suka-suka. Ubat tahan sakit kalau ambil secara berpanjangan itu mungkin boleh merosakkan organ dalaman juga terutamanya buah pinggang. Suplemen lagi lah cepat.

2. Jangan ambil apa-apa suplemen tanpa perbincangan dengan Doktor anda. Soal diri sendiri dahulu: i. perlukah suplemen? ii. apa risikonya? JANGAN tanya jurujual atau percaya testimoni air liur sahaja. Jumpa Doktor yang merawat anda.

3. Jika ada gejala kegagalan buah pinggang akut (tiba-tiba terjadi) kebiasaannya fungsi boleh pulih sedikit. Bincang elok-elok dengan Doktor merawat sebab bukan semua orang sama dan boleh pukul rata. Jika Doktor syorkan buat ujian lanjut, cepat buat. Jangan tangguh-tangguh.

4. Jika ada penyakit kronik buah pinggang, dengar baik-baik saranan Doktor. JANGAN sentuh suplemen, pil, serbuk, herba, teh kopi campuran, sembur-sembur langsung jika anda nak melambatkan sampai tahap Dialisis. Kalau anda ambil benda-benda ini, lagi cepat lah anda ke sana. Bukan mengelakkan, malah mempercepatkan lagi.

5. Nak ambil pati ke, jus delima ke, pergi lah beli buah delima di supermarket. Sangat berkhasiat yang itu. Bancuh lah sendiri, nak buat apa dengan buah delima segar itu, buat lah.

Jimat duit, kesihatan pun terjaga Insyaallah. – sk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *