Negara-negara korup dan Indeks Persepsi Rasuah

Adakah anda merasakan Malaysia ini negara yang paling korup di mata anda?

Tahukah anda, tidak ada satu negara pun dalam dunia ini yang bebas daripada korupsi dan rasuah? Malah, menurut Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index, “CPI”) yang dikeluarkan oleh Transparency International setiap tahun, skor yang paling tinggi diperolehi hanyalah 90 daripada 100 skor keseluruhan.

Dan tahukah anda, daripada sejumlah 176 buah negara, lebih dua pertiga negara jatuh di bawah titik tengah skala indeks tersebut? Purata skor hanyalah 43, membuktikan korupsi ini merupakan suatu endemik yang melanda sektor awam mana-mana negara dalam dunia.

Dunia penuh korupsi

Jika anda perhatikan peta di bawah ini, negara ‘bersih’ yang berwarna kuning telah ditenggelami oleh negara-negara berwarna jingga dan merah di mana rakyat terhimpit dengan kesan korupsi setiap hari di sana. Apa yang paling menyedihkan, tidak ada satu pun negara Islam yang mengungguli kedudukan 20 negara teratas.

Laporan ini telah jelas mengenal pasti hubungan antara korupsi dengan ketidakadilan yang saling melengkapi, ketidaksamaan dalam pegangan kuasa dan ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan.

Menurut Pengerusi Transparency International, José Ugaz, terlalu banyak negara yang korup sehingga rakyat jelata terpaksa menagih kemudahan-kemudahan asas dan tidur dalam keadaaan lapar setiap malam. Manakala yang kaya dan berkuasa terlepas daripada hukuman dan boleh menjalani kehidupan yang mewah.

Hubungan antara korupsi dan ketidakadilan juga melahirkan ramai ahli politik baru beraliran populisme. Apabila pemimpin dan ahli politik ‘tradisional’ tidak dapat menghapuskan gejala rasuah dan korupsi, ramai orang menjadi semakin sinis apatah lagi dengan wujudnya media sosial. Tindakan mengecam pemimpin seringkali dilakukan secara terang-terangan.

Kemudian, makin ramailah ‘pemimpin’ populis yang baru muncul sambil berjanji untuk memecahkan kitaran korupsi dan memperjuangkan hak-hak rakyat agar sama rata. Namun, rekod dan sejarah negara dari seluruh dunia membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin populis ini hanyalah tin kosong yang lebih memburukkan keadaan. Kitaran itu tidak akan pernah berhenti. Perjuangan mereka membawa ideologi negara bersih itu sebenarnya sekadar propaganda untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Negara-negara korup

Negara-negara dalam zon merah laporan CPI ini dibelenggu masalah pecah amanah dan sektor awam yang korup terutama sekali dalam badan kehakiman dan pihak polis. Walaupun terdapat undang-undang pencegahan rasuah yang diwartakan, pada hakikatnya ia tidak dipraktikkan dan tidak diambil peduli. Rakyat seringkali ditindas dan diperas ugut, hanya mampu hidup dengan kemudahan asas yang kebiasaannya terjejas oleh penyelewengan dana serta sentiasa dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa apabila meminta hak dan keadilan.

Pecah amanah dan korupsi hidup subur dalam persekitaran sebegini. Kes-kes seperti Petrobras dan Odebrecht di Brazil dan kisah panjang di Ukraine bersama bekas Presidennya, Viktor Yanukovych membuktikan bagaimana pakatan antara ahli politik dan perniagaan menggelapkan berbilion hasil ekonomi negara sehingga memberi manfaat hanya kepada kroni sambil mengorbankan rakyat yang lain. Sistem seperti ini melanggar hak asasi manusia, menghalang pembangunan negara dan meningkatkan jurang sosial antara lapisan masyarakat.

Negara-negara bersih

Di negara-negara yang mempunyai skor yang tinggi, kerajaan mengamalkan kebebasan akhbar, menyediakan akses dan maklumat berkenaan belanjawan negara, mempunyai standard integriti yang lebih ketat di kalangan penjawat awam dan mencipta sistem kehakiman yang bebas.

Walau bagaimanapun, negara-negara ini masih tidak terkecuali daripada korupsi. Masih wujud perjanjian dan urus niaga ‘under the table’, masih banyak berlaku konflik kepentingan, perolehan wang secara haram dan pelaksanaan undang-undang yang menganggu gugat kesejahteraan rakyat.

Anda pasti tertanya-tanya, di manakah kedudukan Malaysia dalam laporan CPI ini?

Kita berada pada kedudukan yang ke-55 dengan skor sebanyak 49 mata. Ya, masih banyak ruang yang perlu dan boleh diperbaiki. Tapi Kuwait yang merupakan negara keenam terkaya di dunia pun berada pada nombor 75, apa cerita?

Apa-apapun, penulis rasa bersyukur kerana tidak dilahirkan dan dibesarkan di Somalia. Tak tercapai dek akal memikirkan apa nasib diri jika menjadi rakyat marhaen di sana. – i

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *