Pakatan Harapan Tidak Akan Berjaya Tawan Sabah

SEPANG – Pakatan Harapan akan mengalami situasi sukar untuk mendapatkan Sabah daripada BN pada PRU14, yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, meskipun Harapan kini diketuai oleh beberapa pemimpin politik yang dikenali dan berpengaruh, ia bukannya satu jaminan untuk pakatan tersebut untuk menang di negeri Di Bawah Bayu itu.

“Kalau kita tengok sejarah mereka, ketiga-tiga pemimpin ini (kepimpinan tertinggi Harapan) tidak dapat bersemuka secara serampang dua mata.

“Jadi, saya melihat mereka agak sukar untuk (parti mereka) bekerjasama dan maju ke hadapan bagi mewujudkan satu pakatan yang mantap.

“Kerjasama adalah salah satu komponen penting (bagi sesebuah pakatan politik untuk menang),” katanya semasa sidang media program amal berbasikal Sun Suria City di sini, hari ini.

Melihat kepada situasi tersebut, ahli Parlimen Pensiangan itu menyuarakan keyakinan bahawa BN mampu kekal di Sabah di sebalik cabaran yang diberikan oleh Harapan.

“Kami yakin BN boleh menang di Sabah tetapi kita perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu,” tegasnya.

Minggu lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju untuk melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan manakala Pengerusi parti Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi pakatan tersebut. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *