Pakej Umrah serendah RM 3’500 adalah satu penipuan.

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesan wujudnya pihak tertentu yang mempromosi pakej umrah pada harga serendah RM3,500.

Ketua Unit Kawal Selia Umrah PPIM, Abd Halim Ikhsan berkata, pihaknya menerima maklum balas orang ramai mengenai tawaran itu yang jelas berunsur penipuan kerana harga semasa ditetapkan pihak berwajib bermula dari RM5,000.

Katanya, berdasarkan siasatan, ia membabitkan syarikat terkenal, ejen dan orang tengah yang berpengalaman menguruskan ibadat umrah sebelum ini.

“Kita dapati ada mutawif yang berpengalaman tetapi tidak mempunyai lesen. Jadi mereka mengambil jalan singkat untuk mengaut keuntungan walaupun dengan cara menggunakan agama,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kos semasa paling minimum untuk mengerjakan umrah seperti tiket pergi balik RM3,200, visa (RM300), kit umrah (RM200), muassasah (RM2,200) dan air zam-zam iaitu sebanyak RM15.

“Jadi mana mungkin harga serendah RM3,500. Justeru saya harap orang ramai berhati-hati dengan tawaran harga murah. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi hotline PPIM di 03-40504454,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *