PAN mahu tubuh jawatankuasa khas pantau aktiviti kakitangan kerajaan.

Parti Amanah Negara (PAN) mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau aktiviti kakitangan kerajaan yang berjawatan tinggi sebagai kaedah membendung aktiviti salah laku.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan memantau pegawai kanan kerajaan antaranya Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Menteri-menteri dan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita seru dan mengambil kira untuk memberikan peluang kepada bekas pegawai tinggi kerajaan yang terdiri bekas hakim, bekas peguam negara atau tokoh perundangan untuk pantau segala tingkah lakunya serta tindakan dalam bentuk kecuaian yang kita rasakan mereka ini tidak jalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya dalam satu sidang media hari ini di Wisma PAN.

Bagaimanapun, keputusan ke arah itu bakal diputuskan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Kita pelawa supaya bekas pegawai tinggi kerajaan terdiri daripada bekas tokoh perundangan dan kehakiman supaya tampil dan beri sumbangan dan beri pandangan supaya negara pulih daripada isu yang sangat besar kepada negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut menuntut agar Suruhanjaya Siasatan DoRaja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu dibuat kerana langkah menubuhkan RCI adalah selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti awam terhadap kehilangan berbilion-bilion ringgit.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, satu pertemuan dengan semua individu terbabit akan diadakan, namun nama-nama individu tersebut tidak dinamakan.

“PH akan mengadakan pertemuan dengan bekas hakim supaya mereka jadi pemantau supaya harta rakyat dapat dipelihara dan kita akan dakwa mereka walaupun telah bersara.

“Jangan anggap bersara mereka boleh bebas daripada salah laku semasa menjalankan tugas. Ini tidak pernah berlaku apabila merdeka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *