PAS berpendapat pemasangan AES gagal didik pengguna jalanraya.

Tindakan kerajaan untuk memasang 100 unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tahun depan masih tidak mampu untuk menangani masalah sedia ada.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, penambahan pemasangan AES hanya akan menjadi jerat kepada pengguna jalan raya untuk berdepan tindakan saman.

“Sedangkan ia gagal mendidik orang ramai lebih berhemah, selain menurunkan kadar kemalangan.

“Menerusi Ops Selamat 11 yang dijalankan selama 11 hari bermula 18 Jun lalu, dilaporkan jumlah kemalangan jalan raya bertambah kepada 17,147 berbanding tahun lalu, sebanyak 15,527 bagi tempoh sama dengan peningkatan 10.4 peratus.

“Berdasarkan fakta semasa ini, sasaran untuk menurunkan kadar ini sebanyak 50 peratus menjelang 2020 dilihat mustahil untuk dicapai dengan pelaksanaan AES,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi memaklumkan, 100 kamera AES akan dipasang di lokasi strategik di seluruh negara pada tahun depan.

Pada pandangannya, Ustaz Nasrudin berkata, kerajaan perlu menarik semula kelulusan yang telah diberikan sebelum ini bagi pemasangan 1,200 unit kamera AES di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sepatutnya membuat kajian mengenai keberkesanan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang menggabungkan AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

“Kajian ini mestilah melibatkan semua pihak, termasuk pengguna dan dibentangkan kepada awam bagi mendapatkan maklum balas ke arah penambahbaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *