PAS Kedah bersedia gempur 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di PRU14

17/7/2017– PAS yang dibawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengakui lebih selesa bergerak bersendirian tanpa perlu bergantung kepada mana-mana parti terutama puak Pakatan Harapan yang diketuai parti rasis dan cauvinis DAP dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, PAS opitimis kekuatan tersendiri berada dalam blok atau kumpulan ketiga akan memastikan kemenangan calon-calonnya dalam berdepan parti lawan iaitu parti rasis dan cauvinis DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR.

Hari ini, PAS Kedah telah menyatakan kesediaan mereka untuk gempur 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di PRU14. Itulah yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh FAkhrurazi.

Beliau berkata telah menjadi tradisi PAS untuk meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu menentang BN, namun pada PRU ke-14 ini PAS cuba meneroka kerusi majoriti 60 peratus Melayu atau meletakkan calon DHPP di kerusi yang berpotensi.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, PAS telah bertanding sebanyak 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, iaitu dengan mengekalkan bilangan kerusi yang ditandingi oleh PAS pada PRU ke-12.

“Manakala jumlah kerusi Parlimen dalam negeri Kedah yang ditandingi PAS pada tahun 2008 dan 2013 pula, adalah 8 kerusi.

“Memandangkan suasana politik hari ini berbeza daripada senario PRU yang lalu kesan daripada pengisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur.

“Serta tindakan PKR yang sering membelakangkan tahaluf siyasi ketika bersama PAS sehingga muktamar membuat keputusan memutuskan persefahaman politik antara kedua-dua parti berkenaan, maka PAS Kedah bersetuju untuk sedia bertanding di 36 kerusi Dun Kedah dalam PRU ke-14,” kata Ahmad Fakhruddin.

Katanya, keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PAS Kedah walau bagaimanapun, tertakluk kepada kehendak PAS Pusat berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera.

Tambahnya, PAS Kedah juga bersedia untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen dalam negeri ini, dan ia juga tertakluk kepada keputusan PAS Pusat.

“PAS Kedah berpendirian bahawa sudah tiba masanya jentera pilihan raya PAS kawasan merintis semula kerusi Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh rakan parti politik PAS suatu ketika dahulu supaya persediaan yang dibuat dapat meyakinkan rakyat bahawa PAS lah sebaiknya pilihan mereka,” kata Ahmad Fakhruddin. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *