Pembantu Khas Adun DAP tak mengaku salah mencabul.

Pembantu khas wakil rakyat DAP, Prem Anand Loganathan hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang penuntut kolej swasta.

Prem Anand, 50, yang berkhidmat dengan ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Him, yang dihadapkan di depan Majistret Catherine Nicholas mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah ke atas pengadu yang berusia 21 tahun itu di sebuah tempat letak kereta di Lebuh Pantai, Pulau Pinang, pada 6 Julai.

Pada mulanya, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM10,000. Beliau juga mencadangkan bahawa tertuduh melaporkan diri kepada polis mengikut jadual dan dilarang menghubungi pengadu.

Peguam Prem Anand, E Gnasegaran membantah cadangan itu, dengan berkata, ia “tidak munasabah”.

“Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran. Dia sudah pun diikat jamin polis dan tampil di mahkamah sebagaimana diminta.

“Jaminan tidak boleh dijadikan sebagai hukuman, tidak ada bukti bahawa dia mahu melarikan diri, atau mahu menghubungi pengadu,” kata peguam itu.

Gnasegaran berkata, pengadu yang didapati mengadakan persidangan akhbar dengan ahli politik untuk berkongsi keluhannya.

Beliau kemudian mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM5,000 untuk Prem Anand.

Majistret, bagaimanapun menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pembantu khas itu yang berpakaian baju berjalur biru dan seluar kelabu, disertai oleh beberapa penyokong.

Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Baljit Singh hadir sebagai peguam pemerhati pengadu.

Sabtu lalu, pelajar itu, yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Tan, menceritakan kejadian yang dialaminya pada satu sidang akhbar. Hadir bersama adalah bapanya, teman lelaki dan naib presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.

Beliau menuduh lelaki itu menciumnya, menyentuh bahagian kemaluannya sebelum melancap dan memancut ke atasnya.

“Dia juga mempamerkan seluar pendek yang didakwa dipakainya malam kejadian itu, yang mempunyai tompokan putih di atasnya,” lapor The Star Online.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *