Penerbangan AirAsia Dibatalkan, Penumpang Cuba Ceroboh Kokpit

PETALING JAYA – Sebuah pesawat AirAsia yang sepatutnya berlepas dari Bali ke Kuala Lumpur semalam terpaksa dibatalkan, apabila seorang penumpang yang disyaki mengambil alkohol dan dadah sebelum menaiki pesawat, cuba menceroboh ruang kokpit sejurus sebelum pesawat berlepas dari lapangan terbang.

China Press melaporkan Penerbangan AK379 dijadualkan berlepas dari Bali pada 7.10 malam dan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 10.10 malam.

Akhbar itu memetik seorang penumpang bersama 12 rakannya sebagai berkata, mat salleh berusia kira-kira 40 tahun itu tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan meluru ke arah kru sebelum menjerit mengarahkan pesawat berhenti dan berpatah balik.

Katanya, kru cuba menghalang suspek, tetapi lelaki itu bergelut dan berlari ke arah kokpit.

“Suspek menendang dan memukul pintu kokpit dengan kuat menyebabkan semua penumpang terkejut serta tidak tahu hendak berbuat apa.”

Saksi itu berkata, disebabkan keseriusan kejadian itu, juruterbang segera mengurangkan kelajuan pesawat dan berpatah balik ke lapangan terbang.

Katanya, polis Bali kemudiannya menahan suspek di dalam pesawat.

Akhbar itu memetik kakitangan AirAsia di Bali sebagai berkata, semua penumpang akan bermalam di hotel.

Difahamkan, ketika kejadian itu, pesawat berkenaan penuh dengan penumpang yang dianggarkan sekitar 150 orang.

Ini adalah kejadian ke-2 penumpang cuba menceroboh ruang kokpit membabitkan syarikat penerbangan Malaysia.

Pada 31 Mei lalu, pesawat Malaysia Airlines dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine selepas seorang penumpang warga Sri Lanka cuba menceroboh ruang kokpit Penerbangan MH128.

Manodh Marks, 25, yang dilaporkan mempunyai masalah mental berjaya dikawal anak kapal, selepas mengancam mahu meletupkan pesawat itu dengan bom yang didapati hanya sebuah speaker.

Marks kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne mengikut Akta Jenayah Penerbangan Commonwealth 1991 kerana secara semberono membahayakan keselamatan pesawat, membuat ancaman atau keterangan palsu dan mengancam untuk memusnahkan, merosakkan dan membahayakan keselamatan pesawat atau membunuh atau mencederakan penumpangnya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *