Polis Lanjutkan Tempoh Tahanan Reman Terhadap Lelaki Pasang Bom Pada Kereta

KLANG – Reman seorang lelaki yang ditahan polis pada Isnin kerana disyaki memasang bom buatan sendiri pada kereta bekas kekasihnya disambung sehingga esok bagi memperinci siasatan motif utama perbuatan itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata siasatan awal mengesyaki perbuatan lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik bertujuan mengugut bekas kekasihnya yang tidak melunaskan pinjaman bulanan bank bagi kereta tersebut.

Beliau berkata ini kerana lelaki berumur 27 tahun itu menjadi penjamin bagi pinjaman bank berkenaan dan dia tidak berpuas hati dengan sikap bekas teman wanitanya itu.

“Setakat ini, siasatan awal menunjukkan tindakan lelaki itu sebagai ugutan, malah pembuatan bom yang dipasangnya juga bukanlah seperti pakar. Mungkin sekadar ditiru daripada laman sosial,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, Ab Rashid menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara yang baharu, ACP Mazelan Paijan bagi menggantikan ACP Mohd Yusoff Mamat yang bertukar ke Bukit Aman sebagai timbalan pengarah kepolisan am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Dalam perkembangan lain, Ab Rashid berkata polis akan memanggil semua individu yang didakwa terlibat dalam kes pencerobohan sebuah gudang menyimpan kenderaan di Kajang, Selangor pada Isnin lepas bagi merekodkan kenyataan mereka.

Siasatan awal menunjukkan syarikat itu yang didakwa menipu 500 individu didapati menjalankan perniagaan secara sah.
Namun polis akan menyiasat kes pencerobohan itu secara lebih terperinci tanpa menyebelahi mana-mana pihak, katanya.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata 2 suspek utama kes samun di Kampung Masjid, Kajang pada Jumaat lepas ditahan awal pagi tadi.

Beliau berkata penahanan 2 suspek lelaki itu adalah susulan penangkapan seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 56 tahun dan 22 tahun di Kajang, semalam.

Kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 21 dan 23 tahun ditahan antara 4.30 hingga 5.30 pagi di Sungai Chua, Kajang, katanya dalam kenyataan semalam.

“Lelaki berumur 21 tahun itu mempunyai 6 rekod jenayah lampau dan seorang lagi mempunyai 5 rekod jenayah lampau. Semua 4 suspek ditahan reman selama 6 hari mulai hari ini,” katanya.

Dalam kejadian samun itu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun cedera parah dengan tengkorak kepalanya pecah selain kecederaan lain di kepala, dagu dan mulut dipercayai dipukul suspek. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *