Rafizi : Jelajah Dulu Pandan Bagi Habis Sebelum Jelajah Malaysia

Oleh Beruang Biru

Dalam satu video, ahli parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli telah menyatakan dia akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara mulai bulan ini untuk menerangkan kepada penduduk mengenai harga barang, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pekerja asing.

Hairan dengan Rafizi ini, jelajah kawasan dia sendiri Pandan pun belum habis, sibuk pula hendak jelajah seluruh negara. Kesian dengan penduduk di Pandan. terbiar begitu sahaja disebabkan Ahli Parlimen mereka terlalu “sibuk” dengan agenda sendiri.

Memandangkan Rafizi sibuk hendak memperkatakan mengenai tiga perkara ini, maka elok kita teliti satu persatu perkara berkenaan.

Isu gaji

Rafizi mengulangi saranan supaya menubuhkan Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara. Gaji pekerja Invoke sendiri pun tidak boleh dirunding dengan baik, ada hati hendak bincang gaji pekerja di seluruh negara.

Ketika dipaksa oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Adam Rosly supaya mendedahkan kutipan dana Invoke Malaysia (Invoke), Rafizi telah menunjukkan penyata kewangan NGO berkenaan.

Berdasarkan penyata itu, gaji kakitangan untuk 80 petugas Invoke berjumlah RM888,487 dan secara purata setiap orang hanya bergaji RM11,106.

Jumlah gaji itu sangat rendah, jadi bagaimana beliau mahu memperjuangkan gaji untuk rakyat Malaysia, jika staff sendiri pun bergaji di bawah gaji minimum.

Isu kenaikan harga barang

Rafizi pernah menyatakan sebelum ini harga barang akan turun apabila harga minyak turun di bawah RM2 seliter. Sudah lima minggu minyak turun, ada nampak harga barang turun? Formula Rafizi ini tidak betul.

Sebaliknya dalam tempoh lima minggu harga minyak jatuh, Rafizi hanya mendiamkan diri tetapi kini bila harga minyak naik, baru mula bersuara.

Rafizi pernah ramalkan bahawa harga petrol dan diesel dijangka terus meningkat pada beberapa bulan akan datang dengan RON95 boleh mencapai tahap RM2.70 seliter pada Jun.

“Hari ini saya ingin menambah lagi berita buruk kepada rakyat Malaysia dengan memberi amaran lebih awal bahawa harga petrol dan diesel dijangka terus kekal pada paras yang tinggi (sekitar RM2.30 seliter) dalam beberapa bulan akan datang.

“Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik pada beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 (seliter) menjelang Jun 2017 sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan media pada 6 Februari lalu.

Sekarang? Memang ramalan Rafizi “ke laut”. Terbaru mahu harga RM1.50 pula. Ini adalah bukti nyata cakap Rafizi tidak boleh dipakai.

Isu GST

Rafizi menyatakan GST perlu dimansuhkan tetapi sudah dua tahun dalam Belanjawan Alternatif pembangkang, masih ada GST.

Mereka cuma menukar rentak dengan “cadangan kadar sifar GST”. Ya, sifar, bukan mansuh. Kini Rafizi mahu main wayang kononnya GST akan dimansuhkan.

Cuba buka balik belanjawan alternatif pembangkang. Itu belum lagi masuk Buku Jingga yang kini terus diam sahaja. Banyak janji Buku Jingga dan manifesto di Selangor yang sudah dicampak ke laut.

Dalam video itu juga, Rafizi turut menyentuh mengenai isu pekerja asing. Cuba pergi lihat di kawasan Pandan sendiri, berapa banyak pekerja Indonesia dan Bangladesh yang berada di situ. Dalam parlimen Rafizi sendiri penuh pekerja asing di Pandan Indah dan Pandan Cahaya.

Bukan semua penduduk tempatan mahu buat kerja 3D, “dirty, dangerous, difficult”. Kerajaan juga cuba mengawal pekerja asing ini melalui proses e-card. Mana-mana pendatang asing yang tidak mempunyai kad itu akan ditangkap oleh Imigresen dalam usaha membersihkan pendatang asing haram.

Rafizi sendiri sedang berdepan dengan kes mahkamah. Mahkamah Tinggi di Shah Alam akan membuat keputusan pada 13 Julai ini berhubung rayuan oleh Rafizi terhadap sabitan kesalahan fitnah jenayah dan rayuan pendakwaan mengenai hukuman itu.

Nasib dia sendiri belum diketahui, bagaimana Rafizi mahu bercakap tiga isu ini kepada rakyat. Bercakap habiskan air liur sahajalah kerana tiga perkara ini belum tentu dipersetujui oleh semua komponen parti pembangkang.

Hal logo pun mereka gagal bersetuju tambah lagi bercakap tiga hal ini. Jadi Rafizi kena sedar diri, dia bukanlah sesiapa pun dalam pembangkang. Tercalon pun belum tentu dalam PRU14 kerana kes mahkamah.

Elok la jelajah Pandan tu bagi habis. Tiga perkara yang Rafizi cakap itu banyak ada di Pandan. Kedai judi, rumah urut dan pusat maksiat berlambak di Pandan. Selesaikan isu “pekerja asing” di Pandan dulu lah Rafizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *