Soo Wincci Sedia Sahut Tawaran Berbogel Di Layar Antarabangsa?

Memegang watak wanita penggoda dan daring di dalam filem Kau Yang Satu membuatkan Dr Soo Wincci berani untuk menyahut tawaran berbogel di layar antarabangsa?

Menerusi filem arahan Osman Ali yang bakal ditayangkan pada 27 Julai, watak sebagai Isabella yang juga kekasih Taufik (Aaron Aziz) menonjolkan karektor berbeza gadis Tionghua itu.

Andai selama ini kerap membawakan watak putih, percubaan menyerlahkan sisi beraninya ‘menjadi’ hingga Soo Wincci sedia menyahut cabaran daripada produksi luar.

Apa pun jangan tersalah sangka, akui pelakon dan penyanyi yang turut mencipta nama di Taiwan itu, andai dicabar memegang peranan sedemikian, ia tetap bergantung siapa pengarah atau keperluan cerita.

Katanya, melihat kerja sutradara seperti Ang Lee membuatkannya teringin berlakon di bawah pasukan pengarah yang sarat hasil seni itu.

“Kita lihat saja Ang Lee. Beliau tidak menunjukkan seseorang aktres itu tanpa seurat benang sebaliknya di layar hanya sisi tertentu dipaparkan dan segala-galanya membawa makna tersendiri.

“Bagi saya kalau mahu tampil seksi atau berbogel di layar perak biarlah ia diekspresikan dengan kelas tersendiri atau dipaparkan secara artistik.

“Dalam erti kata sebenar, tidak menonjolkan bahagian yang tidak sepatutnya kepada khalayak. Apa pun, seperti yang saya tegaskan, saya perlu memperhalusi tawaran berkenaan sebelum memberikan kata putus,” katanya yang tidak sabar menunggu reaksi ramai terhadap Kau Yang Satu.

Tambah Ratu Malaysia Dunia 2008 itu lagi, kesediaan mendedahkan tubuhnya di layar antarabangsa diharap tidak disalah anggap sebagai keterbukaan membintangi filem erotik.

Bercerita mengenai watak Isabella selaku wanita seksi, penggoda dan penuh dendam, gandingan bersama Aaron memerlukan mereka membawakan banyak babak intim hingga pada peringkat awal beliau sendiri tersipu-sipu.

“Boleh dikatakan, inilah karakter pertama yang memperlihatkan sisi daring saya. Selama dua minggu kami belajar dengan Ellie Suriaty untuk mendalami watak.

“Walaupun julung kali bergandingan, apatah lagi intim di layar perak, saya dan Aaron dapat menghayati peranan kami dengan sempurna.

“Asalnya saya takut juga isteri Aaron marah tetapi mereka nyata sangat profesional. Hakikatnya banyak babak intim termasuk ketika Isabella hampir mengucup Taufik.

“Osman sangat berseni. Beliau memberi gambaran dan kemudian apabila melihat sudut rakamannya, ia menjadi sangat artistik dan realistik,” katanya lagi.

Selain Wincci dan Aaron, filem cinta sarat mainan emosi, drama dan konflik yang bakal ditayangkan pada 27 Julai ini turut dibintangi Izara Aishah serta Hisyam Hamid. – rd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *