SPRM tahan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Perak

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Negeri Perak , Sabri Ahmad Tah yang sebelum ini diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan di Putrajaya, hari ini.

Lelaki berusia 47 tahun itu sebelum ini dicari SPRM bagi membantu kes rasuah membabitkan projek-projek memajukan tanah di sebuah lokasi di Perak serta pembekalan bahan binaan yang berlaku pada tahun 2014.

Suspek yang juga Pengarah Syarikat Semarak Sinergi Sdn Bhd difahamkan ditahan di ibu pejabat SPRM, kira-kira jam 4 petang.

Dipercayai suspek dicari SPRM selepas siasatan mendapati beliau terbabit dalam rasuah dengan nilai lebih RM200,000, sebagai upah membantu memperoleh projek-projek yang dikatakan milik kerajaan negeri.

Dalam penahanan itu, SPRM masih belum membuat sebarang sitaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, pihaknya melakukan siasatan terperinci susulan penahanan ini.

“Kami membuka siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan lanjut sedang dilakukan SPRM,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan suspek dicari SPRM bagi menyelesaikan satu pendakwaan rasuah. Suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah di Putrajaya esok untuk direman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *