Suami Wajar Kurangkan Melepak.., Isteri Bukan Hamba Untuk Diabai

18/07/2017 – Kebanyakkan isteri memang cukup tak suka bila mendengar tentang suami mahu keluar melepak dengan kawan-kawan. Sikap suami yang akan pulang lewat malam itu yang mengundang amarah isteri. Pelbagai alasan diberikan kononnya bermain futsal bersama teman, dan tidak kurang juga sekadar bertandang ke kedai kopi untuk melepak.

Sekali dua mungkin boleh dimaafkan, tetapi jika dilakukan saban malam, pasti boleh menimbulkan perselisihan faham. Mungkin bagi kebanyakan lelaki, perkara ditimbulkan sesuatu yang remeh, tetapi wanita mempunyai persepsi berbeza. Ketika itulah, sepatutnya masa diluangkan bersama keluarga atau menguruskan hal persekolahan anak.

Mizan Dzai berkongsi pengalaman dan menasihati para suami untuk kurangkan lepak kalau perkara itu tidak mendatangkan faedah kerana isteri bukan hamba untuk diabaikan. Walaupun suami rasa perkara ini remeh tetapi perlu memahami isteri yang menguruskan anak-anak dan rumah tangga.

“Cuma kita sebagai suami kena ingat, kita terlalu meremehkan hal-hal di dalam rumah seperti tentang perkembangan anak-anak, kepenatan isteri jaga makan pakai kita, barang mandi atau perhiasan isteri dah habis, stokin dan spender campak merata dll.

“Penat weh urus rumahtangga sebenarnya, dulu masa Farrel lahir aku jaga El pantang dan uruskan hal rumah pun penat. Sekarang bila Aldric lahir, aku uruskan Farrel yang cranky gila sebab ada adik plus El tengah berpantang lagilah 10x ganda penat.

“Tapi itulah kita sebagai suami, kalau tak bersedia nak berkorban jangan gatal nak anak orang. Ingat, lelaki dilahirkan untuk berkorban dan berjuang. Jangan asal balik kerja balik melepak, kau goyang kaki goyang telor, tau-tau semua dah terhidang. Tengah malam yang kau tahu nak pakai isteri. Dia separuh nyawa bersilat dari siang sampai ke malam kau tak fikir? Time ni pandai pula cakap isteri walau atas unta sekalipun wajib layan suami.

“Habis tu sediakan keperluan, mengemas, memasak kau ingat dalam Islam tugas isteri? Banyak kau punya lawa ya, tugas isteri ni melayan suami dan anak-anak je sebenarnya bang. Bawa-bawalah kurangkan melepak malam kalau tak mendatangkan faedah. Apa yang kau nak malu sangat member cakap #SalamGari atau bini singa? Bukan member basuh spender kau bang. Bukan member yang tahan lapar bila kau tak ada duit nak beli barang dapur.

“Suka aku pesan, member ada hadnya. Member ada tempatnya. Isteri bukan hamba tapi adalah separuh jiwa. Kau abaikan isteri sama macam kau tengok bapak kau abaikan mak kau. Suka? Kalau kau tak ada member yang dok sindir, yang tak nak paham tugas sebagai suami tu, kau tak rugi satu sen pun bang. Jangan kawan dia. Kalau dok ejek kau juga, kau starlight kan je. Bangang.

“Anak-anak tengok layanan kau pada isteri, dia orang ingat macam mana kau buat pada mak dia orang. Dah tua esok, nangis air mata darah pun dah tak guna kalau anak anak ketepikan kau dan utamakan member-member dia yang tak ada masa depan dan bawa pengaruh yang buruk.

“Belum terlambat untuk kita buat isteri kembali tersenyum macam mula-mula kahwin dulu. Tiada istilah terlambat selagi nyawa masih dikandung badan, belum terlambat selagi pernikahan masih halal dan penceraian belum difailkan. Bahagia ni bila kau bertolak ansur, bahagia ni bila saling memahami satu sama lain dan bahagia ni bukan hanya suami yang bersenang-lenang. Ianya bukan sekadar kau cantik, bukan sekadar kau hebat berniaga,” tulisnya.

Sebenarnya isteri bukan tak beri keizinan langsung untuk suami melepak. Tetapi, nak melepak, biarlah berpada. Nak melepak, berkawan, bersukan, apa sajalah, asalkan berpada. Ingatlah bahawa anda digelar seorang suami dan ayah, anda bukannya bujang. Sebagai seorang suami, andalah pelindung keluarga anda, sebagai seorang ayah, andalah sumber kasih sayang dan pendidik mereka.

Bila dah berkahwin, buatlah cara berkahwin, melepak sampai awal pagi adalah perangai orang bujang, bukanlah perangai seorang suami atau ayah. Gunalah akal dan pertimbangan. MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *