Tanda-Tanda Rumahtangga Mula Retak

14/07/2017 – Kehidupan rumah tangga tidak semudah yang dibayangkan. Dalam diri pasangan perlu kesabaran supaya permasalahan yang sedang dihadapi dapat segera diselesaikan.

Namun, ketika sudah ada tanda-tanda keretakan rumah tangga, diharapkan setiap pasangan segera peka dan melakukan tindakan pencegahan demi mengelakkan berlaku penceraian. Cubalah mencari penyelesaian yang baik, sebelum mengambil langkah terakhir. Ini antara beberapa tanda keretakan rumahtangga.

Pertama, tidak banyak bercakap atau tidak bercakap langsung. Ada masanya kita kurang bercakap dengan pasangan kita. Mungkin disebabkan oleh komitmen kerjaya dan sebagainya.

Namun, apabila ia berlaku dalam tempoh yang lama dan berpanjangan, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Suatu masa dahulu kita mencari masa untuk bercerita pelbagai hal walaupun kelihatan remeh di mata orang lain. Kini, semuanya umpama rahsia. Tiada lagi perkongsian tentang apa yang berlaku di siang hari. Dan malam hanya disudahi dengan tidur tanpa ucapan selamat malam.

Kedua, sering bergaduh untuk perkara yang sama. Semasa kita bahagia, perkara yang besar pun mampu ditangani. Apalagi hal yang kecil. Umpama hujan lalu, semuanya diselesaikan dengan mudah.

Namun, tidak begitu buat keluarga yang mula dilanda masalah. Hal yang kecil ini diperbesarkan. Hal yang besar menjadi peperangan dan alasan untuk berpisah.

Ketiga, sering mengelakkan diri daripada pasangan.Pernahkah anda merasa perasaan itu? Semasa kita membenci seseorang. Kita cuba sedaya-upaya untuk mengelak dari mereka.

Semasa kita marah dengan pasangan pula, ada yang memilih untuk mendiamkan diri. Dia di ruang tamu, kita ke dapur. Dia ke dapur, kita ke bilik. Dia ke bilik, kita ke bilik yang lain. Pada awalnya kita memanggil ia sebagai ‘merajuk’. Tapi, ia satu masalah bila ia bukan lagi tentang rajuk. Ia kini tentang rasa tidak senang, tidak selesa, dan tidak suka berada di sisinya.

Keempat, busuk hati terhadap pasangan. Busuk hati. Ya, ia boleh berlaku. Dengan rasa benci dan cinta yang menjauh, kita gembira jika dirinya bersedih.

Bila sesuatu menimpa dirinya, kita anggap ia sebagai balasan kepada dirinya. Kita tidak bangun menjadi penyokong di saat dia ditimpa kesusahan. Sebaliknya kita mentertawakan dirinya, sekurang-kurangnya dalam senyap.

Kelima, anak tidak menghormati ibu bapa. Bila jarak dengan ibu bapa sudah menjauh, begitu juga dengan rasa hormat. Anak-anak mula mempertikaikan peranan ibu bapa dalam hidup mereka.

Bila mereka sudah tidak dapat melihat ibu bapa sebagai contoh ikutan mereka, maka rasa hormat kian terhakis.Mereka mulai berfikir kekurangan ibu bapa dan berharap mereka akan mencipta keluarga yang lebih baik. Dan ia tidak melibatkan kedua ibu bapa.

Keenam, anak sering mengeluh tentang hidup. Diri yang dibina dalam kehancuran, memberi kesan perskpektifnya tentang kehidupan. Dia sudah mulai letih dengan semua hal yang memberi tekanan. Lalu hidup ini dirasakan terlalu sukar dan tidak bererti lagi.

Kita pernah rentasi jalan bahagia dengan semangat dan tanpa putus asa. Justeru, semua ini boleh dielakkan dengan mulakan semula usaha untuk menunaikan tanggungjawab sebagai individu di dalam institusi kekeluargaan.

Kesimpulannya, keretakan rumah tangga ini sedikit sebanyak memberi kesan pada anak-anak tanpa disedari oleh ibubapa. Cubalah untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku dengan berbincang. Jangan disebabkan ego masing-masing, kehidupan anak-anak terjejas. Penceraian bukan jalan yang terbaik, cubalah untuk berubah dan sama-sama memperbaiki apa yang telah hilang selama ini. MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *