Teh Ais Besar Sangat, Kena Ikat Gaya Tocang

Antara sebab utama ramai orang yang gemar membungkus air minuman di dalam plastik serta diikat tepi kerana lebih puas ketika meminumnya dan kuantiti air juga biasanya lebih sedikit berbanding yang diminum di dalam gelas dan ramai juga yang tidak kisah untuk membayar lebih jika membungkus air minuman seperti ini.

Pastinya satu kelegaan dapat minum minuman berais ketika waktu panas ataupun selepas melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh jadi oleh kerana itulah sebuah gerai di Batu 13, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena, Kedah memperkenalkan Teh Ais Gajah.

“Tu dia Teh Ais Gajah baq hang. Tengah panaih lit-lit kena hat ni sebungkuih kenyang seminggu! Menyandaq teruih,” begitulah keterangan yang ada di hadapan gerai tersebut.

Sebenarnya gerai ini telah mula beroperasi sejak tiga tahun lalu dan ia digelar teh ais gajah kerana saiznya hampir empat kali ganda saiz teh ais biasa dan boleh diminum sehingga lapan orang.

Oleh kerana saiznya yang terlalu besar, bungkusan teh ais ini tidak boleh diikat tepi dan harus diikat mati namun jika ada pelanggan yang ingin meminumnya terus cara ikatan tocang akan digunakan dengan dua tali pengikat.

Menurut pengusahanya, Nurayu Md Yusof, 25, gerainya itu viral setelah seorang rakannya memuat naik gambar dengan reaksi terkejut melihat saiz bungkusan teh ais tersebut.

Nurayu turut memberitahu dia mendapat idea untuk menjual minuman berbungkus besar ini apabila ramai remaja yang bermain futsal membeli minuman dari gerainya yang berhampiran dengan gelanggang tersebut.

“Mereka yang main futsal selalu beli teh ais bungkus untuk minum di gelanggang. Jumlah mereka satu pasukan ramai, jadi leceh (payah) nak beli dan bawa setiap satu seorang.

“Jadi, kami jual dalam bungkusan sangat besar. Nak bungkus pun tak boleh ikat tepi, sebab berat sangat. Kena ikat ‘mati’ (tengah) untuk bungkus bawa balik atau ikat tocang kalau nak minum terus dari plastik,” ujarnya ketika ditemui oleh Mstar Online.

Setiap bungkus Teh Ais Gajah ini dijual dengan harga RM7 sebungkus dan selain daripada itu terdapat pelbagai lagi menu minuman yang lain dengan harga yang berbeza. – vd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *