Tentera Laut Amerika dan Filipina lakukan rondaan bersama.

MANILA: Tentera laut Amerika Syarikat dan Filipina menjalankan rondaan bersama di perairan berbahaya di selatan negara itu, hari ini ketika kebimbangan membabitkan militan dan dan aktiviti lanun kian meningkat di rantau berkenaan.

Kapal tempur tentera Amerika Syarikat, USS Colorado menyertai kapal perang Filipina, BRP Alcaraz meronda Laut Sulu di mana banyak serangan lanun terhadap kapal komersial, sejak tahun 2015.

“Operasi laut dengan tentera laut Filipina mencerminkan komitmen kami kepada pakatan, membendung aktiviti lanun dan kegiatan haram,” kata Naib Laksamana Amerika Syarikat, Don Gabrielson, dalam satu kenyataan menerusi kedutaan negara itu di Manila.

Terdapat kebimbangan pejuang asing yang setia kepada kumpulan pengganas Daesh melintasi sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia untuk menyertai militan pemberontak dan menawan Marawi City di selatan Filipina, lima minggu lalu.

Kira-kira 300 militan, 82 anggota keselamatan dan 44 penduduk awam terbunuh dalam pertempuran itu.

Kedutaan AS berkata, rondaan maritim itu diadakan atas jemputan kerajaan Filipina.

Presiden Rodrigo Duterte tidak membenarkan rondaan bersama dengan AS di Laut China Selatan untuk mengelak daripada mengeruhkan hubungannya dengan China yang menuntut kawasan di laut itu.

Namun, beliau menyambut baik kerjasama di selatan kerana peningkatan aktiviti militan.

Dua minggu lalu, Indonesia, Malaysia dan Filipina menjalankan rondaan laut bersama di perairan selatan negara itu. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *