TH Perkenal Lanyard Pengenalan Diri Berbeza Warna

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, Tabung Haji (TH) memperkenalkan pemakaian lanyard (tali penyandang lencana pengenalan diri) berbeza warna dalam kalangan jemaah haji Malaysia mengikut maktab penginapan bagi melancarkan operasi musim haji 1438 hijrah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) 1438 Hijrah, Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata pengenalan inisiatif baharu itu bagi memudahkan TH memantau pergerakan jemaah haji berikutan pertambahan kuota jemaah Malaysia kepada 30,200 orang musim ini.

Beliau berkata jemaah Malaysia ditempatkan di 13 maktab penginapan yang dibahagikan kepada lima zon sekitar kota suci Mekah, merangkumi 24 bangunan penginapan iaitu pertambahan daripada sembilan bangunan penginapan pada musim haji lepas.

“Selain itu, kita juga sediakan satu lagi lanyard khusus bagi jemaah haji yang kali pertama melakukan umrah dan ziarah sekitar kota Makkah.

Ia akan memudahkan unit peronda TH di Masjidil Haram mengenal pasti jemaah mana yang melakukan umrah kali pertama, dan tahu jemaah itu dari maktab mana jika mereka tersasar daripada kumpulan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat TH Makkah di Hotel Abraj AlJanadriyah di sini, semalam (Sabtu),

Dalam pada itu, Nurrin Anuwar berkata TH sudah bersedia sepenuhnya bagi menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci Makkah, dan pihaknya sudah membuat persiapan sejak dua minggu lepas membabitkan kemudahan prasarana, kebajikan dan perubatan.

Katanya khidmat sokongan juga disediakan melibatkan kemudahan kafeteria serta perkhidmatan telekomunikasi i-Talk yang dikendalikan Telekom Malaysia dan syarikat Saudi Telecommunications Company (STC) , di samping wifi dan internet di lokasi tertentu.

Beliau berkata kumpulan pertama dan kedua jemaah haji Malaysia, masing-masing melibatkan 278 dan 470 orang, dijangka tiba di Makkah pada tengah hari dan petang, Ahad (30 Julai).

Sementara itu, Nurrin Anuwar menasihatkan jemaah supaya minum air yang banyak dan mengelak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas memandangkan musim haji kali ini berlangsung dalam musim panas antara 31 dan 43 darjah celsius.

Bagi membantu pergerakan jemaah berulang-alik dari maktab penginapan ke Masjidil Haram, beliau berkata TH menyediakan khidmat unit peronda yang ditempatkan di lima atau enam stesen di sekitar masjid berkenaan.

“Petugas peronda ini akan membantu jemaah yang mungkin tersasar (tersesat) untuk pulang ke maktab penginapan masing-masing. Bagi jemaah yang uzur atau kurang upaya, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan teksi dengan bayaran antara SR1 dan SR2,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *