Tip Mengemas Rumah Bersama Anak Kecil Menjelang Raya

Ibu bapa yang ada anak-anak kecil yang lasak lagi aktif dah tentu pening kepala nak mengemas rumah untuk raya nanti. Baru bersih dikemas, tak sampai 15 minit dah bersepah semula. Baru saja simpan semua mainan dalam kotak, sekelip mata semuanya dah bertaburan di lantai pula.

Aduh, letih betul!

Bagaimana mahu kemaskan rumah sebagai persediaan raya dengan kehadiran anak-anak kecil ini? Ikuti tip berikut.

1. Libatkan Anak Dalam Aktiviti Pembersihan

Memang mencabar untuk melibatkan anak dalam aktiviti mengemas dan membersih rumah, tetapi ia lebih baik untuk mereka merasai dan melakukan aktiviti tersebut bersama ibu bapa daripada menganggap mereka sebagai masalah atau punca. Boleh minta lapkan perabot atau almari.

2. Harapan Yang Realistik

Anak kecil memang takkan dapat mengemas begitu sempurna. Namun, mereka masih boleh diharapkan untuk lakukan setakat yang mereka mampu sesuai dengan usia mereka. Ibu bapa tak perlulah mengharapkan kesempurnaan, sebaliknya menghargai usaha mereka membantu dan latih mereka dari semasa ke semasa.

3. Beri Arahan Yang Spesifik Dan Jelas

Cuba beri satu arahan yang jelas dalam satu-satu masa. Bagi anak yang berusia 5 ke 6 tahun, arahan seperti ‘bersihkan bilik kamu’ adalah terlalu umum sebaliknya cuba berkata begini. ‘Simpan semua kereta mainan kamu ke dalam kotak’. Anak mudah faham dan ikut sekiranya arahan diberi dengan terang dan spesifik.

4. Hadkan Permainan

Kadangkala kita tak sedar yang permainan anak sudah terlalu banyak. Mungkin sebahagiannya juga sudah rosak atau tidak berfungsi lagi. Jadi, boleh minta anak sisihkan permainan yang perlu dibuang. Paling baik sediakan satu tong atau bakul, jika berpenutup lebih baik, dan simpan semua permainan ke dalamnya. Jika sampai satu ketika permainan sudah tidak muat diisi, tandanya permainan sudah berlebihan dan tiba masa untuk buangkan atau dermakan sebahagiannya.

5. Mengemas Dengan Gembira

Untuk elak anak cepat bosan atau jemu ketika mengemas, boleh diselitkan ‘game’. Contohnya perlu selesaikan menyusun semua permainan blok ke dalam kotak atau menyusun semua buku ke rak sebelum lagu kesukaan mereka tamat. Siapa yang paling cepat selesaikan tugas boleh diberikan ganjaran.

6. Bermain Game Warna

Salah satu cara untuk galakkan anak kemas bilik sendiri dengan cepat, minta mereka kumpulkan atau kutip barang (atau permainan) yang sama warna, lalu disimpan. Selain bilik bersih dikemas, anak belajar mengenal warna dan membuat pengelasan.

7. Pertandingan Kebersihan

Pada hari yang diperuntukkan untuk mengemas seluruh rumah, boleh tugaskan setiap anak akan mengemas satu bilik masing-masing. Siapa yang kemas paling bersih dan cepat, akan diberi ganjaran.

8. Menjual Semula Permainan

Untuk mengawal bilangan mainan, jika ada yang sudah tidak digunakan lagi tetapi masih baik keadaannya, boleh dijual semula. Wang hasil jualan boleh disimpan. Permainan yang tidak dijual, boleh didermakan atau diberi kepada sesiapa yang memerlukan.

9. Usah Buat Semula Kerja Mereka

Jika ibu bapa buat semula tugasan yang dibuat oleh anak, anak akan beranggapan bahawa dia tak bagus dalam menyempurnakan tugasannya. Anak yang kecil sudah tentulah kerjanya tidak sesempurna mana. Tapi hargailah dan raikanlah usahanya bantu kita. Lama-kelamaan anak akan pandai mengemas sendiri. – tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *