UMNO Tidak Tergugat Dengan Penjenamaan Semula Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan baharu Pakatan Harapan tidak akan memberi saingan sengit kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, kepimpinan pakatan pembangkang yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak akan mengugat kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dalam kerajaan.

“Saya optimis, PH di bawah kepimpinan yang baru dibentuk tidak memberi saingan kepada kita (UMNO), itu perkara biasa (kehadiran pembangkang).

“UMNO tidak berada dalam keadaan ketakutan dengan kehadiran PH, UMNO juga bukan setahun jagung berdepan dengan situasi sedemikian.

“Kita sudah cukup pengalaman terutama untuk menangani serangan politik pembangkang,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali turut menolak sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff bahawa UMNO kini berada dalam ketakutan.

“Kenyataan Rais sebagai bahan lawak dan kelakar, mengapa UMNO perlu berasa takut dengan kehadiran PH, apa istimewanya pakatan tersebut?

“UMNO yang menjadi tunjang gabungan BN bukan parti yang baru malah sudah mejangkau 71 tahun usianya dan masak dengan senario politik negara ini.

“UMNO boleh berdiri gagah sehingga ke hari ini kerana dasar-dasarnya relevan untuk orang Melayu dan majoriti orang Melayu pula menyokong perjuangan UMNO,” tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan blok pembangkang, jika takut dilambung ombak, tidak perlu untuk berumah di tepi pantai.

“UMNO tidak pernah gentar dengan gelombang, UMNO tidak pernah lemas dibedal ombak, itu adalah asam garam politik dan UMNO tidak pernah gagal berdepan dengan cabaran mahupun saingan.

“UMNO sudah sebati dengan denyut nadi rakyat terutama orang Melayu sejak zaman pasca-kemerdekaan sehingga sekarang.

“Orang Melayu dan UMNO saling memerlukan kerana sokongan padu itu telah membolehkan pemimpin UMNO dan kerajaan melakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan negara,” jelasnya.

Berbanding dengan PH katanya, ia sekadar gabungan parti-parti politik yang tidak mempunyai carta masa depan sekadar laungan retorik untuk memperdayakan pemikiran rakyat.

“Lagipun PH adalah gabungan aternatif pembangkang baru tetapi dibarisi oleh pemimpin lama dan veteran politik yang menyimpan dendam terhadap UMNO.

“PH hanya dijenamakan semula dengan barisan kepimpinan lama dan majoritinya dianggotai oleh bekas pemimpin UMNO yang kecewa.

“Jadi, dakwaan Rais bahawa UMNO takut sekadar mimpi ngerinya apabila menyedari kekuatan UMNO semakin terserlah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” tegasnya.

Dalam sebuah portal berita, Rais dipetik sebagai berkata pengumuman barisan kepimpinan PH itu telah ‘menakutkan’ pemimpin BN dan UMNO.

Syed Ali juga menyifatkan perlantikan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH tidak akan memberi impak besar kepada senario politik tanahair.

“Betul Dr Mahathir pemimpin berjasa, tetapi dalam hal ini saya tidak nampak mengapa rakyat perlu menyokong pakatan tersebut,” ujarnya.

Ditanya apakah pembentukan PH akan membuka jalan ke arah sistem dua parti di Malaysia, Syed Ali menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Kita kena ingat, Pas yang berada di blok ketiga tidak menyokong PH yang didominasi oleh DAP,” tegasnya. – aw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *