Zul Ariffin Hanya Mahu Berlakon Watak Hero Sahaja

Pelakon berbadan sasa, Zul Ariffin tetap mempertahankan wataknya sebagai teraju utama dalam sesebuah karya selagi termampu.

Malah, selebriti berusia 31 tahun ini juga yakin dan percaya perkara sama turut dilakukan aktor lain.

“Saya bermula dari bawah. Menjadi extra, kemudian meningkat dan beralih kepada pelakon pembantu. Sekarang ini bertindak sebagai teraju utama dalam drama dan filem.

“Bukan mudah untuk saya ke tahap ini. Malah, saya ambil masa hingga tujuh tahun untuk berada di slot utama di TV3.

“Jadi, saya seboleh-bolehnya mahu pertahankan watak utama selagi termampu. Saya yakin saya boleh bagi yang terbaik dalam setiap projek lakonan,” katanya pada Media Hiburan.

Bahkan, pelakon drama Rindu Awak 200% ini menganggap kedatangan ramai pendatang baru sebagai persaingan sihat.

“Saya bukanlah nak compete dengan orang lain. Bagi saya ia hanya persaingan sihat. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin ini mengakui selektif dan hanya menerima beberapa tawaran lakonan tertentu yang dianggap berbaloi.

“Sekarang, saya pun tak ambil terlalu banyak tawaran. Dulu, mungkin saya boleh buat begitu kerana mahu perkenalkan diri, tapi sekarang orang dah kenal jadi saya perlu tunjukkan kualiti lakonan lebih baik dari sehari ke sehari.

“Saya hanya terima tawaran yang bagus dan berbaloi untuk sesuatu naskhah. Lagipun, apabila kita berehat terlalu lama, peminat juga mula tertanya-tanya ke mana kita menghilang,” katanya.

Dalam pada itu, bintang filem J Revolusi ini mengakui lebih menyenangi peminat yang terdiri daripada golongan wanita berusia dna mereka ini dianggap paling istimewa.

Malah, Zul juga berpendapat peminat yang dikategori sebagai ‘makcik-pakcik’ ini sebenarnya lebih jujur menilai kerja dihasilkannya.

“Mereka jenis individu tak hakimi sesuatu lakonan dan tak perlu sertai kelab peminat. Tetapi mereka ini berminat mahu menonton sesebuah cerita. Minat mereka berpunca daripada produk yang kita hasilkan tiada kena mengena dengan peribadi. Kita kena hargai orang yang hargai kerja kita,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *