251 Bungkusan Plastik Air Ketum Dirampas Polis

TANJUNG MALIM – Sebanyak 251 bungkusan plastik mengandungi cecair dipercayai air ketum dirampas dalam serbuan di empat lokasi berbeza di sini, petang kelmarin.

Dalam operasi dijalankan itu turut menahan tujuh suspek berusia 21 tahun hingga 42 tahun termasuk seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya ke sebuah rumah di Rumah Awam 2, Jalan Ketoyong, di sini kira-kira jam 1.10 petang kelmarin.

Katanya, pegawai dan anggotanya menahan empat lelaki berusia 24 hingga 42 tahun dan merampas lapan bungkus plastik mengandungi cecair berwarna hijau disyaki air ketum yang diletakkan dalam baldi plastik berwarna biru di bahagian dapur.

“Dalam serbuan di lokasi kedua, kami menyerbu sebuah lagi rumah juga di kawasan perumahan yang sama, namun tiada tangkapan dilakukan kerana tidak berpenghuni.

“Pihak kami merampas 50 bungkus plastik dipercayai air ketum dijumpai dalam sebuah bilik tidur di rumah tersebut,” katanya.

Katanya, pada jam 2.15 petang hari sama, pihaknya mengadakan serbuan di sebuah rumah di Taman Ketoyong, di sini.

Menurutnya, selepas pegawainya memberi salam, seorang lelaki yang juga penuntut IPT keluar dari rumah sebelum cuba melarikan diri ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, bagaimanapun lelaki berusia 21 tahun itu yang bersembunyi di dalam almari di bilik tidur belakang rumah tersebut berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan fizikal tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah tersebut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi daun kering disyaki ganja yang dianggarkan berat 0.65 gram.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 192 bungkus kecil cecair berwarna hijau disyaki air ketum yang disembunyikan di dalam dua tong ais berwarna merah.

“Kesemua barang kes dirampas serta suspek ditahan dan dibawa ke IPD Mualim bagi membantu siasatan pihaknya,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya turut melakukan serbuan di sebuah rumahdi kawasan berhampiran kira-kira jam 2.30 petang dan pemeriksaan fizikal terhadap empat suspek berusia 23 hingga 29 tahun tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di ruang tamu menjumpai sebungkus plastik mengandungi cecair disyaki air ketum dan seorang suspek mengakui ia miliknya.

“Hasil siasatan awal ke atas dua suspek mendapati mereka bukan penyewa rumah dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau, jadi dua lelaki tersebut dibebaskan tanpa syarat.

“Barang kes dirampas, bagaimanapun dua lagi suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *