28 maut, 82 cedera angkara pengebom nekad

KANO (NIGERIA): Sekurang-kurangnya 28 maut manakala 82 lagi cedera selepas tiga pengebom nekad wanita meletupkan diri di pintu masuk sebuah kem penempatan penduduk tanpa rumah di sini.

Seorang anggota pasukan pengawal kampung, Baba Kura, berkata serangan terbabit berlaku di pekan Mandarari, 25km dari Maiduguri.

“Tiga pengebom nekad wanita meletupkan bom yang terpasang di tubuh mereka, ketika berada di luar kem itu, membunuh 28 orang dan mencederakan 82 yang lain.

“Apabila pengebom pertama meletupkan dirinya, orang ramai mula panik dan menutup kedai masing-masing apabila dua lagi pengebom meletupkan diri, menyebabkan ramai terbunuh,” katanya.

Ketua pasukan antimilitan tempatan, Ibrahim Liman, mengesahkan serangan dan berkata semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital Maiduguri.

Timur laut Nigeria ialah pusat aktiviti kumpulan militan Boko Haram, termasuk kejadian tembak menembak, letupan bom dan penculikan.

Mereka melancarkan pemberontakan pada 2009 yang meragut lebih 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 2.6 juta rakyat kehilangan tempat tinggal. – AFP

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *