Adam Shahz Nafi Bercerai Dengan Fatin Afeefa Kerana Orang Ketiga

Pelakon, Adam Shahz, menafikan kehadiran orang ketiga sebagai punca perceraiannya dengan bekas isteri, Fatin Afeefa, 22.

Katanya, beliau sedar ramai yang beranggapan dirinya menjadi punca kepada perpisahan dengan pelakon terbabit berikutan gara-gara perbuatannya sebelum ini membalas mesej seorang wanita.

“Saya faham, sebelum ini rumah tangga kami pernah bergolak gara-gara isu saya membalas mesej seorang wanita. Demi Allah, di pihak saya, tiada orang ketiga.

“Kenyataan ini perlu juga dibuat bagi menjelaskan situasi kami yang sebenar, agar tiada lagi pihak yang bertanya. Orang tuduh saya macam-macam, kononnya sayalah punca rumah tangga kami berkecai.

“Apa yang saya boleh katakan, keretakan ini berpunca daripada pergaulan kawan. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Lagipun kami berbaik dan masih lagi keluar bersama demi anak-anak. Saya tak mahu mengeruhkan keadaan kerana kami saling memerlukan antara satu sama lain untuk membesarkan mereka,” ujarnya.

Bercakap kepada BH Online, pelakon itu mengesahkan dirinya sudah menceraikan Fatin dengan talak satu pada 30 Mei lalu di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.

Adam, 35, berkata Fatin memfailkan perceraian pada 15 Mei lalu selepas berasakan mereka sudah tidak lagi mempunyai persefahaman sebagai suami isteri.

“Pada mulanya, kami tinggal berasingan sejak Januari lalu kerana mahu berpindah rumah. Ketika itu kami masih baik. Kebetulan pula masing-masing sibuk dengan kerja.

“Tiba-tiba, apabila kami berjumpa, dia (Fatin) memberitahu dirinya tidak boleh lagi bersama saya dan memohon perceraian. Saya anggap, mungkin kerana dia tertekan dengan kerja, saya berikan dia masa dan bawa anak kami pulang ke kampung.

“Dua hari selepas itu, dia menghantar pesanan menerusi WhatsApp meminta saya menghadirkan diri ke mahkamah. Pada malam itu saya menunaikan solat istikharah dan Allah tunjukkan jalan pada saya. Saya reda dengan ketentuan ini,” katanya sambil mengakui kini lebih berhati-hati dalam soal pergaulan.

Terdahulu, Adam menafikan dakwaan isterinya memfailkan permohonan cerai selepas dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung. Jelas Adam ketika itu, mereka tidak tinggal bersama berikutan dalam proses berpindah rumah.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau nama penuhnya Fatin Nur Afifah Shamsudin pada 21 Disember 2013. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia, 2. – bho

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *