AS beri amaran sedia ‘balas’ tindakan Korea Utara

WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberi amaran Amerika Syarikat (AS) sudah mengambil kira semua pertimbangan untuk bertindak balas terhadap tindakan Korea Utara membedil peluru berpandu balistik ke arah pulau Hokkaido di Jepun.

Ujian peluru berpandu itu meningkatkan ketegangan di timur Asia ketika tentera AS dan Korea Selatan mengadakan latihan tentera tahunan di Semenanjung Korea.

Ia menaikkan kemarahan Pyongyang yang melihat latihan itu sebagai persiapan menceroboh negaranya.

Korea Utara mengadakan puluhan ujian peluru berpandu balistik di bawah kepemimpinan Kim Jong-Un, yang bertentangan dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi membedil roket ke arah Jepun amat jarang dilakukan.

Trump yang berikrar tidak membenarkan Korea Utara membangunkan peluru berpandu nuklear yang boleh mencecah AS berkata, dunia menerima mesej terbaru rejim itu dengan jelas.

“Tindakan mengancam dan mengkucar-kacirkan keadaan cuma meningkatkan pemulauan rejim Korea Utara di rantau itu dan dalam kalangan semua negara dunia.

“Semua pilihan sudah terbentang,” katanya dalam satu kenyataan.

Trump dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, bersetuju Korea Utara memberi ancaman hebat yang semakin bertambah kepada AS, Jepun dan Korea Selatan, kata Rumah Putih. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *