Chef Selebriti Terkenal Kuzie Catering, Pak Engku Meninggal Dunia

Pengendali perkhidmatan katering selebriti dan orang-orang kenamaan, Datuk Raja Rosly Raja Mazlan, 57, meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kencing manis, malam tadi.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Engku itu menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di Seksyen 14, kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

Allahyarham Raja Rosly dikenali umum sebagai pakar perkhidmatan katering melalui syarikatnya, Kuzie Catering & Wedding Planner yang ditubuhkan pada tahun 1994.

Malah, perkhidmatan katering yang diusahakan oleh Allahyarham itu sering menjadi pilihan ramai termasuklah selebriti-selebriti tempatan serta para pemimpin tertinggi negara termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Ramziah Samah, 47, serta tiga orang anak masing-masing Raja Muhammad Danial, 20; Raja Putri Zarith Sania, 18 dan Muhammad Harith Irfan yang berusia 17 tahun.

Jenazah Allahyarham Raja Rosly dijangka akan di semadikan di Makan Diraja Shah Alam selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah di sini kira-kira pukul 10 pagi nanti.

Sementara itu, Muhammad Harith Ifran ketika ditemui menyatakan bapanya itu dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak semalam untuk menjalani pembedahan.

“Bagaimanapun, ayah disahkan meninggal dunia pada malam ini,” katanya yang turut menyatakan seluruh ahli keluarganya reda atas pemergian Allahyarham. – astrogempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *