DAP tak perlu takut pada SPRM jika tak bersalah

1 – Semua orang berasa hairan dengan tindak tanduk Lim Kit Siang yang sebelum ini kononnya mahu menghapuskan rasuah serta membersihkan Malaysia dari perlakuan salahguna kuasa. Sehingga tarikh sebelum anaknya didakwa di mahkamah, Kit Siang ternyata menjadi jaguh Pakatan didalam menuduh kerajaan BN sebagai korup dan juga tak boleh dipercayai.

2 – Kini anaknya sendiri terpalit dengan semua dakwaan-dakwaan yang selama ini mereka labelkan terhadap pemimpin kerajaan persekutuan. Dimana suara Kit Siang? Mereka menuduh pula kerajaan mahu perangkap pemimpin Pakatan. Malah, isteri Perdana Menteri yang tidak terbabit dalam pentadbiran kerajaan juga tak diberikan sebarang pengecualian dari fitnah mereka.

3 – SPRM yang dahulunya dianggap sebagai ‘rakan paling kamceng’ pemimpin Pakatan, kini bertukar menjadi ‘janda yang paling dibenci’ setelah menyiasat beberapa pemimpin pembangkang. Ramai tentunya masih ingat betapa lebarnya senyuman Kit Siang dan betapa gembiranya Wan Azizah apabila bersalaman dan bergambar dihadapan bangunan SPRM tak lama dahulu.

4 – Mungkin ketika itu gerombolan Pakatan beranggapan bahawa SPRM mudah dikudakan sepertimana mereka memangsakan rakyat Pulau Pinang dengan politik jijik mereka. Akhirnya kini mereka terpaksa menelan kepahitan itu apabila SPRM bukanlah boneka yang boleh diperkotak katikkan oleh mana-mana pihak.

5 – Sebagai badan bebas yang mempunyai integriti didalam membanteras amalan rasuah dinegara ini, SPRM sudah pastinya tidak sama sekali akan ‘memilih bulu’ didalam melaksanakan tanggungjawab yang mereka galas. Sebab itulah jika diteliti, tak ada individu yang terkecuali dari siasatan badan penguatkuasa tersebut.

6 – Sewajarnya Kit Siang serta kesemua pemimpin Pakatan bersorak gembira apabila SPRM melakukan tugas dengan telus dan adil. Sebelum ini ramai diantara pemimpin kerajaan sendiri disiasat dan juga dihukum oleh sistem keadilan di negara ini kerana penyalahgunaan kuasa dan dakwaan rasuah.

7 – Pembangkang bersorak gembira apabila DS Mohd Khir Toyo dikenakan tindakan. Mereka juga sangat gembira apabila Pegawai tinggi di Jabatan Kerajaan di Johor ditahan atas tuduhan telibat dengan rasuah. Kini mengapa mereka berdiam diri serta berdendam dengan SPRM apabila ‘geng’ mereka sendiri disiasat?

8 – DAP sebenarnya tak perlu takut jika tiada kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Kit Siang juga perlu menasihati semua anak didik beliau dalam Pakatan agar menghormati dan memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak SPRM, bukannya menuduh yang bukan-bukan.

9 – Pepatah ada mengatakan, berani kerana benar dan takut kerana salah. Apakah Kit Siang mahu mengatakan hanya mereka sahaja yang benar dan hanya kerajaan BN sahaja yang salah? Jika Kit Siang menganggap DAP berada di pihak yang benar, biarlah mahkamah yang tentukan segalanya. Kita bukannya mendiami negara ‘koboi’ dimana tiada undang-undang! – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *