‘Depa Curi Pelanggan Saya’

NIBONG TEBAL – Kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan kilang Sungai Baong di sini bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan, malah kehadiran mereka turut menimbulkan rasa tidak selesa penduduk setempat.

Hanya menggunakan motosikal, mereka dikatakan bebas bergerak untuk membuka gerai menjual pelbagai barangan seperti sayur-sayuran, beras dan beberapa keperluan asas lain.

Peniaga, Rohani Mohd Shariff, 39, berkata, perniagaannya terjejas teruk apabila mendapati ada warga asing yang tanpa rasa takut membuka gerai jualan dari satu tempat ke tempat lain di kawasan kilang berkenaan setiap hari.

Menurutnya, tindakan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram itu menyebabkan dia kehilangan pelanggan dan terpaksa menanggung kerugian kerana banyak stok barangan di kedainya tidak terjual.

“Mereka dikesan memulakan perniagaan sejak awal tahun ini dan menumpukan pekerja kilang terdiri warga asing sebagai pelanggan.

“Saya telah buat laporan kepada unit penguatkuasaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengenai perkara ini, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rohani berkata, peniaga warga asing itu merupakan pekerja sebuah kilang di kawasan berkenaan dan menjalankan perniagaan itu bersama isteri selepas waktu bekerja.

“Perkara ini perlu ditangani segera kerana saya bimbang sekiranya tiada tindakan penguatkuasaan, akan menyebabkan lebih ramai warga asing berani menjalankan perniagaan secara haram.

“Saya curiga kerana mereka terlalu berani menjalankan perniagaan di sini, seolah-olah mereka dilindungi seseorang. Saya harap perkara ini turut disiasat,” katanya.

Kesal dengan perkara itu, Rohani turut membuat satu laporan polis dan berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *