‘Dik, aku mimpi jumpa ayah. Dia panggil aku ikut dia’

Dik, aku mimpi jumpa ayah. Dia panggil aku ikut dia,’ kata Ibrahim Hussin.

Berulang kali juga warga emas berusia 81 tahun ini menyampaikan cerita kepada adiknya dan panggilan “ikut’ itu menjadi kenyataan apabila dirinya maut 15 Mei lalu selepas dirempuh oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang oleh Muhamad Kamaruzzaman Desa, 39 tahun dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Kampung Lalang, Baling.

Warga emas itu maut di tempat kejadian selepas sebahagian tempurung kepalanya pecah akibat rempuhan manakala penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berasal dari Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Baling jam empat petang hari yang sama.

Berkongsi kesedihan di hati akibat kejadian tak terduga ini, isteri kepada arwah Ibrahim, Siti Aishah Derani, 71 tahun berkata, arwah suaminya keluar rumah sekitar jam 10.00 pagi. Dia mahu membeli gam untuk membaiki paip.

Makcik tak menyangka yang bukan-bukan sehinggalah datang orang ke rumah memaklumkan pakcik sudah meninggal dunia selepas dilanggar oleh konvoi motosikal. Hanya Allah sahaja yang tahu kesedihan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling beberapa hari selepas kejadian.

Sama sekali tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa suami dikasihi, kata Aishah, sudah berulang kali anak-anak melarang arwah menaiki motosikal berikutan faktor usianya namun suaminya itu sama sekali tidak mengendahkannya.

Arwah suami tiada sakit apa-apa, tubuh badannya sihat. Mata, pendengaran juga baik. Tak ada pun kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Cuma kudratnya sedikit lemah berikutan usia. Kalau ada masalah pun cuma tekanan darah rendah dialaminya,” memaklumkan suaminya dahulu menoreh getah.

Aishah redha namun tidak sanggup melihat gambar kemalangan biar disuakan melalui telefon di hadapannya.

Biarlah, makcik tak nak tengok,” sukar untuknya menzahirkan kesedihan berikutan kejutan pemergian suami.

warga emas maut

Lampu Isyarat Menyala Serentak

Ini bukan kes pertama dan diharap tidak lagi berulang kerana ikutkan, sudah ramai yang menjadi mangsa kejadian. Jika tidak maut, pasti ada luka di sana sini kerana masalah lampu isyarat yang bertukar hijau secara serentak biar berlainan simpang.

Menurut bekas guru, Abdul Nasir bin Idris, pihaknya sudah memaklumi tentang masalah lampu isyarat yang kerap bertukar secara serentak mesti berbeza simpang.

Ada gambar sebagai bukti dan masalah lampu isyarat ini sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan pihak polis dan Majlis Daerah. Malah mungkin sudah diperbincangkan dalam mesyuarat mereka.

Buat masa ini, belum ada jalan penyelesaian namun kita mengharapkan agar insiden begini menjadi pengajaran tidak kita buat penduduk kampung mahupun penunggang-penunggang yang melalui kawasan ini.

Laluannya memang lurus dan cuma ada lampu isyarat untuk ke simpang-simpang. Mungkin bila semuanya bertukar warna dalam masa yang sama, ia boleh mengakibatkan kekeliruan kepada pengguna,’ katanya.

Cikgu Nasir mengharapkan permasalahan lampu isyarat itu dapat diperbaiki sesegera mungkin agar kejadian ini tidak lagi berulang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof dalam satu kenyataan akhbar berkata, pelanggaran dua motosikal berkenaan berlaku disebabkan lampu isyarat di persimpangan itu tidak berfungsi.

Ibrahim yang menunggang Honda EX-5 dipercayai dari Pekan Kampung Lalang untuk pulang ke rumahnya di Mukim Siong manakala motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Muhammad Kamaruzzaman pula dari arah Tanjung Pari ke Baling.

Ketika melewati persimpangan lampu isyarat berkenaan, motosikal yang ditunggang Ibrahim dirempuh oleh motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Kamaruzzaman Desa menyebabkan kedua-duanya tercampak dari motosikal masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Ibrahim mengalami kecederaan di kepala kerana tidak memakai topi keledar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Shariffuddin berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi dihantar ke HB untuk rawatan namun meninggal dunia di hospital berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian.

Sumber – Mingguan Wanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *