FAM perlu lebih berani buka kuota import

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih berani dalam membuka kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, sudah tiba masanya badan induk bola sepak tanah air itu memberi keutamaan kepada usaha untuk memajukan liga M.

“Bola sepak di Malaysia terbahagi kepada dua bahagian, satu liga profesional dan satu lagi pasukan kebangsaan. Sekarang kita kena buat satu keputusan bahagian mana yang harus diberikan keutamaan.

“Pada pendapat saya, kita harus pentingkan liga profesional kerana itu akan memberi dana kepada setiap pasukan. Selama ini kita gunakan konsep yang sama, menghadkan pemain import, apa kejayaan yang kita capai setakat ini.

“Sekarang kita letakkan sasaran dalam tempoh lima tahun, jadikan liga kita terkenal dan menjana keuntungan yang besar. Kita kena tahu pasaran di rantau ini (Asia Tenggara) cukup besar.

“Sebelum ini pihak MP & Silva pernah menyatakan nilai liga kita RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun jadi FAM kena berusaha,” kata Serbegeth.

BH online dan Arena Metro semalam melaporkan cadangan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu kuota pemain import ditambah kepada lima dengan membabitkan seorang pemain import dari Asia Tenggara bagi meningkatkan nilai Liga-M.

Sebelum ini peraturan Liga-M hanya menghadkan kuota 3+1 (pemain dari Asia).

Serbegeth yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak dengan televisyen bola sepak tempatan dan antarabangsa berkata, kehadiran lebih ramai pemain import akan menambah persaingan pemain tempatan.

“Biar pemain tempatan kita bersaing dengan pemain import, kerana itu saja pendedahan yang mereka ada selain bertanding dalam Piala AFC.

“Kalau kita lihat Liga Perdana Inggeris, tak ramai pemain tempatan dalam kelab yang bertanding dan walaupun England tak menang Piala Dunia, Piala Eropah, sekurang-kurangnya pemain mereka jutawan.

“Sedangkan kita di Malaysia, tiada kejayaan di Asia, malah tak layak ke Piala Dunia, ada pula pemain tidak bergaji. Jadi kita majukan liga kita dan saya percaya prestasi pemain juga akan meningkat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *