Imigresen, SPRM dan LHDN serbu kilang haram di Pulau Pinang

PULAU PINANG – Sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu di sini diserbu dalam operasi bersepadu yang menggabungkan beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut terlibat Jabatan Imigresen; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan seramai 50 pegawai dan anggota.

Menurut sumber SPRM, kilang haram yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu itu didapati beroperasi tanpa permit sah di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Katanya, dalam serbuan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Jabatan Imigresen telah menahan seramai sembilan warga Myanmar termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja kilang terbabit.

Tambahnya, empat daripada individu terlibat disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen manakala selebihnya disyaki melakukan kesalahan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

“Dalam operasi sama, SPRM turut memanggil seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan penyelia kilang terbabit ke Pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai untuk diambil keterangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, menurut sumber berkenaan, sebaik sahaja serbuan ke atas kilang itu berakhir, SPRM kemudiannya menyerbu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pejabat operasi kilang terbabit di Bukit Mertajam bagi merampas dokumen-dokumen berkaitan.

Katanya, serbuan di pejabat itu turut membabitkan pegawai LHDN selepas pemilik kilang terbabit disyaki tidak melaporkan pendapatannya dengan betul.

Sementara itu, ujar beliau, siasatan awal JAS pula mendapati kilang terbabit tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara sekali gus melanggar Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2014.

“Kewujudan kilang haram tersebut telah memberi kesan buruk termasuk menjejaskan kesihatan penduduk setempat sehingga ada yang menghidap penyakit serius.

“Selain itu, kilang haram berkenaan juga menyebabkan masalah kebanjiran pekerja asing tanpa permit selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di kawasan terbabit,” katanya.

Sebelum ini, isu-isu berkaitan kilang ini telah beberapa kali dilaporkan oleh penduduk kampung kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil pihak berwajib.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *