Ini sebab mengapa ramai golongan wanita penghuni neraka

“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.”Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim

Kenapakah Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa ramai ahli neraka adalah terdiri daripada golongan wanita?

Apakah kesalahan golongan ini yang menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita? Berikut merupakan beberapa sebab kesalahan wanita tersebut;

#1 – Tidak Mentaati Suami

Hal ini bermaksud seorang isteri yang mengingkari segala kebaikan yang dilakukan oleh suaminya.

Padahal yang harus dilakukan oleh seorang isteri adalah bersyukur dengan nikmat setiap rezeki yang dibawa balik oleh suaminya.

Allah s.w.t juga tidak akan memandang golongan isteri seumpama ini, seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w;

“Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.”Hadis Riwayat Nasaie

Bahkan golongan wanita seperti ni adalah mereka yang sangat gemarkan kemewahan dan perhiasan yang yang berharga, berjenama dan cantik-cantik.

#2 – Menderhakai Suami

Derhaka yang dimaksudkan terbahagi kepada tiga bentuk, iaitu;
#1- Derhaka dengan ucapan.
#2- Derhaka dengan perbuatan.
#3- Derhaka dengan ucapan dan perbuatan.

Derhaka dalam bentuk ucapan adalah dengan berkata-kata yang menyakitkan dan tidak segera memenuhi panggilan suaminya.

Bahkan menjadi kesalahan apabila memenuhinya tapi dengan wajah yang tidak senang atau lambat mendatangi suaminya.

Selain itu, seorang isteri juga menceritakan perihal suami yang tidak disukai oleh suami kepada rakan atau keluarganya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, sehingga menjatuhkan pandangan buruk terhadap suaminya itu.

Derhaka juga apabila seorang isteri meminta cerai tanpa sebab syarie atau mendakwa dirinya telah dianiaya atau dizalimi suaminya.

Bentuk kederhakaan dengan perbuatan adalah apabila isteri tidak mahu melayani keperluan batin suaminya, bermasam muka ketika melayani suami, menghindari suami ketika hendak disentuh, mengalang suami daripada mendatanginya dan perkara-perkara lain seumpamanya.

Hal ini termasuklah apabila seorang isteri keluar rumah tanpa izin suaminya walaupun mengunjungi orang tuanya.

Kesalahan juga jika isteri enggan untuk bersafar (melakukan perjalanan) bersama suaminya, mengkhianati suami dan hartanya, menerima tetamu tanpa izin suaminya menunjukkan aurat selain daripada suaminya.

Derhaka juga apabila seorang isteri enggan mencantikkan diri untuk suaminya sedangkan suaminya menginginkan hal itu.

Selain itu juga kesalahan yang sering dilakukan seorang isteri adalah berjalan di tempat umum tanpa mahram, berbicara dengan lemah lembut dengan lelaki yang bukan mahramnya, puasa sunat tanpa kebenaran suaminya dan lain-lain lagi.

#3 – Mengingkari Suami

Daripada Abdullah bin Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakanlah istighfar iaitu memohon ampun kepada Allah s.w.t. Ini kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menghuni neraka.”

Lalu seorang wanita di antara mereka bangkit bertanya kepada Nabi;

“Wahai Rasulullah s.a.w, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?”

Baginda s.a.w bersabda;

“Ini kerana kamu banyak mengingkari perintah suami. Maka aku tidak pernah melihat mereka yang kekurangan akal dan agama melainkan daripada golongan kamu.”

Wanita itu bertanya lagi;

“Wahai Rasulullah s.a.w, Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

“Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua wanita adalah sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Adapun yang dimaksudkan dengan kekurangan agama adalah wanita yang tidak mendirikan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan disebabkan kedatangan haid.”

Selain itu, wanita sering derhaka pada suaminya juga suka membantah dan hanya mahu menegakkan pendapatnya tanpa memikirkan perasaan suaminya.

#4 – Bertabarruj

Tabarruj adalah apabila seorang wanita yang gemar menampakkan keindahan perhiasannya serta batasan yang wajib ditutupnya dari pandangan lelaki bukan mahramnya.

Allah s.w.t telah melarang hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Dan tinggallah kamu di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu bertabarruj dengan tabarrujnya orang-orang jahiliyyah pertama dahulu.”Surah al-Ahzab:33

Terdapat sabda Rasulullah s.a.w tentang golongan wanita yang berpakaian tapi hakikatnya bertelanjang dengan pakaian mereka yang nipis, ketat dan tidak menutup aurat.

Mereka adalah golongan wanita yang suka dan gembira dengan menampakkan perhiasan mereka itu.

Padahal perbuatan seperti ini secara tidak langsung turut menyeret kaum lelaki ke dalam Neraka. Rasulullah sendiri menyatakan di dalam hadis yang sahih bahawa;

“Fitnah yang paling besar yang paling ditakutkan atas kaum lelaki adalah fitnahnya wanita.”

Oleh itu, hanya wanita yang bijaksana yang sentiasa mahu bertaubat kepada Allah s.w.t akan sentiasa memohon maaf dan keredaan daripada suaminya atas segala kesalahan yang dilakukannya.

Bahkan, akan sentiasa berusaha dan berazam untuk mencintai dan mentaati suaminya itu. Rasulullah s.a.w pernah menerangkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka.

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya, Baginda pun bangkit dan mendatangi kaum wanita lalu mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda;

“Bersedekahlah kamu semua, kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Jahanam!”

Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya dan dia pun bertanya;

“Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab;

“Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu kufur terhadap suami!”Hadis Riwayat al-Bukhari

Oleh itu, bersedekahlah sebagai salah satu jalan untuk menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. Semoga Allah s.w.t menyelamatkan kita semua dari azab api neraka, Amin.

Sumber – tazkirah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *