Juara Olimpik Renang Singapura dikecam Netizen selepas kenyataan ‘mahu ajar Malaysia’

Kenyataan juara olimpik renang dari Singapura Joseph Schooling ingin ‘mengajar’ atlet pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur disifatkan sebagai angkuh oleh netizen Malaysia.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk Singapura. Kami (atlet Singapura) mempunyai tradisi bagi temasya Sukan SEA terdiri daripada atlet muda tetapi berbakat dan saya fikir kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa kerana (Sukan SEA) 2015 adalah yang terbaik bagi kami.

“Saya rasa elok untuk pergi ke halaman Malaysia dan mengajar mereka satu atau dua perkara. Kami sangat menanti-nantikannya,” kata Joseph.

Kenyataan ‘mengajar’ berkenaan disifatkan pengguna Facebook Zhiyu Huang sebagai berlagak lantas menggesa agar juara olimpik itu untuk sentiasa merendah diri, terutama ketika berada di negara orang.

“Bila anda berada di tempat orang, lebih baik merendah diri.

“Tidak kisahlah siapa yang dia mahu ajar, dia bukanlah hebat mana untuk mengajar orang lain,” katanya dipetik New Straits Times.

Seorang lagi pengguna Facebook, Esther Lee berkata Jospeh perlu merendah diri jika ingin diberi kehormatan.

“Negara jiran lain mempunyai ramai atlet bertaraf dunia sejak berdekad,” kata Esther merujuk kepada kejayaan penerjun akuatik Malaysia Cheong Jun Hoong yang merangkul pingat emas dalam Kejohanan Dunia FINA 2017 di Budapest, baru-baru ini.

Pada kejuaran berkenaan, Joseph mendapat tempat ketiga bagi kategori 100m gaya kupu-kupu.

Setelah mendapat kecaman, Joseph kembali tampil membuat penjelasan terhadap kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Ujarnya, hasrat untuk ‘mengajar’ ditujukan kepada atlet Singapura, bukannya kepada atlet Malaysia.

“Saya katakan bagaimana kami (Singapura) terdiri daripada pasukan lebih muda berbanding sebelum ini, dan entah bagaimana saya tercakap Malaysia pula, mungkin kerana penerbangan 17 jam,” ujarnya merujuk kepada temubual di lapangan terbang sejurus selepas pulang dari Budapest ke Singapura.

“Kemudian saya katakan saya tidak sabar untuk ke halaman mereka (Malaysia) dan mengajar mereka satu atau dua perkara, yang memperlihatkan seolah-olah saya mengkritik Malaysia.

“Tetapi sebenarnya saya bercakap mengenai atlet muda kami, dan mengajar mereka satu atau dua perkara mengenai Sukan SEA sebagai batu loncatan kepada masa depan lebih besar dan cerah,” jelas Joseph dipetik Channel News Asia.

Tambahnya, atlet renang Singapura kurang pendedahan kejohanan peringkat antarabangsa dan komennya sebelum ini tidak berniat untuk menyinggung Malaysia. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *